Press Statement

Kenyataan Media Kewujudan Suruhanjaya Diraja – Kes Kematian Teoh Beng Hock

By Friday January 7th, 2011 No Comments
1.         Pada 5 Januari 2011, Majistret Mahkamah Majistret Shah Alam telah membuat satu keputusan terbuka di dalam inkues yang telah dibuat ke atas kematian mendiang Teoh Beng Hock.
2.         Saya telah dimaklumkan oleh Yang Berbahagia Tan Sri Peguam Negara bahawa beliau akan memfailkan satu permohonan semakan (“revision”) di Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi menyemak keputusan Majistret tersebut.
3.         Walau bagaimanapun, pihak kerajaan akan meneruskan keputusan yang telah dibuat sebagaimana yang telah saya nyatakan pada 22 Julai 2009 (seperti yang dilampirkan), untuk mewujudkan satu Suruhanjaya Diraja dengan terma-terma khusus, untuk meneliti dan mengkaji peraturan berkaitan soal siasat yang diguna pakai oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan untuk menentukan sama ada berlaku pencabulan hak asasi semasa proses soal siasat terhadap mendiang Teoh Beng Hock.
4.         Sehubungan dengan itu, satu Suruhanjaya Diraja di bawah Seksyen 2 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) yang diberi kuasa untuk menyiasat perjalanan atau pengurusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan di mana sesuai untuk menyiasat kelakuan mana-mana pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, akan diwujudkan.
5.         Suruhanjaya Diraja tersebut akan diwujudkan dengan terma-terma khusus yang akan ditetapkan dan pihak kerajaan akan melantik ahli-ahli Suruhanjaya yang terdiri daripada orang-orang yang terbilang (“eminent”) dan dihormati. Suruhanjaya ini akan diwujudkan selama tempoh masa tiga bulan selepas satu tauliah perlantikan Pesuruhjaya dikeluarkan oleh Yang DiPertuan Agong (“YDPA”) di bawah seksyen 2 Akta 119 dan boleh dilanjutkan untuk tempoh masa sepertimana yang dibenarkan di bawah seksyen 5 Akta 119.

Leave a Reply