News_archive

KENYATAAN AKHBAR : Tentang Keputusan YAB Presiden UMNO untuk tidak mempertahankan jawatannya

By Wednesday October 8th, 2008 No Comments

KENYATAAN AKHBAR 

TENTANG KEPUTUSAN YAB PRESIDEN UMNO UNTUK TIDAK MEMPERTAHANKAN JAWATANNYA

Sebagaimana kita sedia maklum, semalam YAB Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa beliau tidak akan mempertahankan jawatannya sebagai Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO yang akan berlangsung pada Mac tahun depan.

Saya berpendapat keputusan YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi ini sebagai satu pendirian yang mencerminkan keikhlasan beliau dengan meletakkan kepentingan rakyat, parti dan negara, melebihi segala galanya.

Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YAB Dato’ Seri Abdullah di atas keyakinan dan kepercayaan beliau terhadap keupayaan saya untuk mengambil alih tampuk kepimpinan parti dan kerajaan.

Alhamdulillah, kita bersyukur kerana keputusan ini juga adalah selaras dengan tradisi UMNO. Ini akan membolehkan proses peralihan kuasa berlangsung secara tertib, berhemah dan lancar.

Beginilah amalan, cara dan tradisi UMNO yang selama ini telah menentukan kestabilan dan kemakmuran negara.

Sehubungan dengan keputusan YAB Perdana Menteri itu, saya dengan rasa rendah hati dan penuh rasa tanggungjawab ingin menawarkan diri untuk dicalonkan sebagai Presiden UMNO.

Insya-Allah dengan adanya sokongan daripada akar umbi dan para perwakilan parti, saya berikrar untuk meneruskan agenda perjuangan UMNO dengan pembaharuan-pembaharuan yang telah disebutkan YAB Presiden dalam sidang akhbarnya semalam.

Saya percaya bahawa pengumuman ini akan membolehkan proses demokrasi dalam parti berjalan lancar dan terus subur di samping membolehkan semua ahli UMNO berganding bahu untuk memantapkan lagi parti.

Dengan perkembangan ini juga, saya berharap kepada kepercayaan dan keyakinan rakyat dari kalangan semua kaum, termasuk pemimpin dan ahli-ahli parti, pegawai dan kakitangan kerajaan, anggota pasukan keselamatan, ahli-ahli badan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik, ahli korporat, segenap lapisan masyarakat, baik golongan lama mahupun generasi baru di seluruh Semenanjung serta Sabah dan Sarawak, supaya Barisan Nasional dapat terus diperkukuhkan.

Sesungguhnya, tugas sebagai pemimpin adalah satu amanah dan tanggungjawab yang dianugerah Allah SWT. InsyaAllah, saya akan melaksanakannya dengan cara yang terbaik.

Semoga Allah S.W.T memberi pertolongannya dan memberkati kita semua.

Pejabat Timbalan Perdana Menteri
9 Oktober 2008.

Leave a Reply