News_archive

KENYATAAN AKHBAR : Kerajaan Lulus Peruntukan Tambahan RM100 Juta

By Thursday September 25th, 2008 No Comments

KENYATAAN AKHBAR

KERAJAAN LULUS PERUNTUKAN TAMBAHAN RM100 JUTA
UNTUK PROJEK RUMAH MESRA RAKYAT

Kerajaan telah bersetuju untuk menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM100 juta bagi tahun ini dan 2009 untuk melaksanakan projek perumahan di bawah skim Rumah Mesra Rakyat (PMR).

Peruntukan tersebut akan membolehkan sebanyak 1,500 unit PMR dibina di seluruh negara oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) iaitu sebuah syarikat milik penuh Kementerian Kewangan Diperbadankan.

Skim ini bertujuan membantu rakyat berpendapatan rendah dengan pendapatan isi rumah di bawah RM1,500 memiliki rumah sendiri yang lebih selesa. Ini ekoran kesukaran mereka untuk mendapatkan pinjaman dari institusi kewangan kerana tidak mempunyai kelayakan yang mencukupi.

Bagaimanapun pemohon mestilah mempunyai tanah sendiri atau tanah saudara mara terdekat yang memberi kebenaran berkanun untuk menduduki tanah tersebut. Umur kelayakan memohon pula adalah di antara 21 sehingga 65 tahun.

Melalui skim ini, pemilik hanya menanggung dua pertiga daripada kos pembinaan rumah dalam bentuk pinjaman tanpa faedah berlandaskan konsep Al-Qardhul Hassan manakala satu pertiga lagi ditanggung oleh kerajaan. Pemilik hanya dikehendaki membayar RM150 sebulan untuk tempoh 23 sehingga 29 tahun. Rumah ini berkeluasan antara 700 hingga 1000 kaki persegi dan berharga di antara RM55,000 hingga RM76,000 sebuah mengikut lokasi.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2002, sebanyak 6,551 unit PMR dengan kos RM310 juta telah siap dibina dan diserah kunci kepada pemiliknya manakala 6,263 unit lagi dengan kos RM425 juta sedang dalam pembinaan. Rumah-rumah tersebut dijangka siap menjelang akhir tahun 2009.

Kerajaan berharap peruntukan tambahan ini akan membolehkan lebih ramai rakyat mendapat manfaat terutama di kawasan luar bandar seterusnya dapat menjalani kehidupan dengan lebih sempurna.

YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak
25 September 2008
Putrajaya

Leave a Reply