News_archive

Kenya Minat Pelajari Cara Bangunan Sektor ICT & Infrastruktur

By Sunday June 19th, 2011 No Comments

PUTRAJAYA, 19 Jun (Bernama) — Kenya berminat untuk mempelajari cara Malaysia memajukan sektor teknolgi maklumat dan komunikasi (ICT) serta infrastruktur, memandangkan negara itu berhasrat mempelbagaikan ekonominya.

Naib Presidennya Kalonzo Musyoka berkata Kenya berharap untuk mendapatkan pengalaman serta mempelajari dari Malaysia cara-cara melaksanakan pembangunan berkenaan pada Dialog Antarabangsa Langkawi 2011 (LID 2011) di sini Ahad.

Beliau berkata Malaysia merupakan model sebenar dan terbaik dalam transformasi ekonomi.

“Perdagangan dan perkongsian bestari dari segi ICT adalah apa yang kami mahu tinjau bagi mempelbagai dan meningkat dalam ekonomi serta membasmi kemiskinan.

“Kami memberi keutamaan kepada pembangunan infrastruktur seperti jalan di Kenya dan sekali lagi Malaysia merupakan contoh terbaik dalam sektor ini kerana pembangunannya,” kata beliau kepada Bernama selepas perasmian LID 2011 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kenya, negara di Afrika Timur, merupakan rakan dagang kelima terbesar Malaysia selepas Afrika Selatan, Mesir, Nigeria dan Mauritius di benua Afrika juga berminat untuk meningkatkan kerjasama perniagaan, perdagangan dan pelaburan antara komuniti perniagaan kedua-dua negara.

“Sebagai contoh Dewan Perniagaan Kenya dengan Dewan Perniagaan Malaysia telah merancang beberapa program melihat interkasi yang lebih luas akhir tahun ini.

“Dari segi hubungan sosio-ekonomi, kami melihat banyak interaksi antara pelabur Malaysia dan penuntut Kenya,” kata Musyoka.

Negara itu mengeksport abu soda, teh, produk marin, tembakau, kapur dan simen ke Malaysia dan sebaliknya mengimport barangan elektronik, tekstil, gas asli dan lemak dari Malaysia.

Sumber : Bernama

Leave a Reply