News_archive

Kemesraan Najib Menceriakan Suasana Bersarapan Pagi Pengunjung Pusat Komersil Pelita

By Thursday April 14th, 2011 No Comments

MIRI, 14 April (Bernama) — Penduduk Miri, yang sedang menikmati sarapan di Pusat Komersil Pelita di sini, menerima kejutan mesra apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak singgah dan beramah mesra dengan mereka.

Memulakan tinjauan mesra 30 minit di “Kedai Kopi 2020” yang terkenal dengan makanam dimsum dan tempatan, dengan senyuman terukir di wajah, Najib menyapa pelanggan di situ “selamat pagi” dan “hello, apa khabar” sambil menghulurkan tangan bersalaman dengan mereka.

Beliau juga memenuhi permintaan seorang pengunjung, Carol Chin, untuk menurunkan tandatangannya di blausnya serta girang untuk bergambar bersama pemilik dan pekerja kedai makan serta orang perseorangan.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr George Chan, yang juga Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Setiausaha Penyelaras SUPP Datuk Peter Chin, penyandang kerusi Senadin Datuk Lee Kim Shin dan penyandang kerusi Pujut, Andy Chia Chu Fatt.

Perdana Menteri turut sempat bersarapan roti canai kosong dan teh-O panas dengan calon-calon BN dan warga kota di Restoran Al-Asna sebelum berlepas ke Marudi.

Apabila ditemui wartawan, Carol Chin dengan girang berkata: “Saya gembira bertemu PM (Perdana Menteri) dan telah menunggu beliau seawal pukul 7.30 pagi. Tambahan pula kini saya berjaya mendapatkan beliau menandatangani blaus saya”.

Seorang lagi warga kota, Michelle Chee Seng Heng, yang mendapat penghormatan untuk bersarapan bersama dengan Najib, menyifatkan pertemuannya dengan pemimpin nombor satu negara sebagai mimpi yang menjadi kenyataan.

Seng berkata dia dan saudara perempuan Stephanie mengetahui mengenai Najib melawat kawasan itu semasa membaca suratkhabar pagi ini.

“Pada asalnya, kami hanya fikir untuk melihat Perdana Menteri dari dekat. Kami seolah-olah tidak percaya nasib baik kami, apabila Datuk Peter Chin menjemput kami untuk bersarapan bersama Perdana Menteri. Dan kami terus tidak melepaskan peluang ini,” katanya gembira.

Seng berkata dia dapat bertukar-tukar pandangan dengan Najib mengenai pembangunan pembangunan Bandaraya Miri.

“Saya datang dari Sarikei dan saya bersetuju dengan beliau bahawa Miri telah membangun dengan pesat dan sangat selesa tinggal di sini.

“Kami harap keadaan ini akan dapat terus dikekalkan,” kata eksekutif bank itu.

Andy Chia ketika ditemui berterima kasih kepada Najib yang sudi melawat kawasan itu.

Beliau berkata Pengerui Barisan Nasional (BN) turut memberikan kata-kata perangsang kepada beliau dan calon-calon BN yang bertanding pilihan raya Sabtu ini.

Sumber : Bernama

Leave a Reply