News_archive

Kementerian Penerangan Guna Pendekatan Baru Dampingi Rakyat

By Friday December 16th, 2011 No Comments

TUMPAT, 16 Dis (Bernama) — Kerajaan melalui Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan akan mengetengahkan pendekatan baru untuk mendampingi rakyat menerusi Program Prihatin 1Malaysia, kata Timbalan Ketua Setiausaha kementerian berkenaan, Datuk Dr Rothiah Omar.

Program yang lebih dikenali ‘kementerian turun padang’ itu diharap dapat merapatkan lagi hubungan masyarakat setempat selaras dengan gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, iaitu Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

“Kita akan menumpukan program yang boleh mendekatkan pegawai kerajaan, khasnya petugas di bawah kementerian dengan masyarakat setempat, termasuk komuniti di pusat pengajian pondok,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran gotong-royong rakyat sempena Program Prihatin 1Malaysia di Pondok An Najmiah, Kampung Tebing, dekat sini Jumaat.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan cek bernilai RM10,000 kepada pengetua pondok itu, Abdullah Saamah untuk mengisi tabung pembangunan pusat pengajian pondok berkenaan.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Ibrahim Abdul Rahman dan Pengarah Jabatan Penerangan Kelantan Ramly Yusoff.

Rothiah berkata penglibatan pegawai dan kakitangan kerajaan dalam komuniti setempat, terutama yang berkait rakyat di peringkat akar umbi itu penting bukan sahaja untuk menyampaikan maklumat dan dasar kerajaan dengan jelas, tetapi juga membantu memajukan mereka.

Katanya program ke arah pendekatan baru itu akan diperluaskan mulai tahun depan untuk merealisasikan hasrat kerajaan melalui gagasan 1Malaysia.

Beliau berkata program Prihatin 1Malaysia yang diperkenalkan kementerian itu mendapat kerjasama beberapa agensi kerajaan Persekutuan, termasuk Jabatan Pembangunan Persekutuan, Jabatan Kesihatan, Angkatan Tentera Malaysia menerusi Khidmat Jiwa Murni dan pelajar universiti.

Antara aktiviti yang dijalankan ialah membaiki dan mengecat rumah, membina longkang dan membersih kawasan persekitaran melibatkan kemuniti setempat.

Sumber : Bernama

Leave a Reply