News_archive

Kementerian Kerja Raya Akan Bincang Peluang Bumiputera Dengan Prasarana

By Friday September 9th, 2011 No Comments

TAMPIN, 10 Sept (Bernama) — Kementerian Kerja Raya akan berbincang dengan Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) bagi mengenal pasti bidang serta kontrak bernilai RM8 bilion yang boleh diagihkan kepada kontraktor Bumiputera menerusi pelaksanaan projek My Rapid Transit (MRT) Sungai Buloh-Kajang.

Menteri berkenaan Datuk Shaziman Abu Mansor berkata beliau akan bertemu Prasarana minggu depan untuk menentukan bidang serta skop kerja yang sesuai untuk diagihkan kepada kontraktor Bumiputera mengikut keupayaan mereka dalam melaksanakan kerja dalam projek tersebut.

“Melalui cara ini, kita dapat mencari mekanisme terbaik sebelum pengagihan kontrak dilakukan kepada kontraktor Bumiputera,” katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri beliau di padang Majlis Daerah Tampin di sini, Sabtu .

Shaziman yang juga anggota Parlimen Tampin, berkata pertemuan itu adalah lanjutan daripada pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang sebelum ini memperuntuk sebahagian daripada RM20 bilion jumlah keseluruhan projek itu kepada kontraktor Bumiputera.

Najib sebelum ini mengumumkan peruntukan pakej Bumiputera yang dianggarkan bernilai lebih RM8 bilion menerusi pelaksanaan projek MRT Sg Buloh-Kajang, akan diagihkan kepada kontraktor Bumiputera.

Shaziman berkata insiatif itu juga bertujuan memastikan pengagihan kerja dijalankan secara tersusun, sekali gus mengatasi sebarang kesulitan yang berlaku pada masa akan datang.

Katanya selepas pertemuan itu, beliau akan berjumpa anggota persatuan kontraktor Bumiputera untuk membincangkan cara dan kaedah mereka boleh mengambil bahagian dalam projek berkenaan.

“Ini penting dan kita perlu berhati-hati kerana jika kontraktor yang terpilih tidak berupaya dan mampu untuk melaksanakan kerja ini, ia dikhuatiri akan mendatangkan pelbagai masalah, termasuk peningkatan kos, projek lambat ataupun terbengkalai,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply