News_archive

Kemenangan PKR bukan mutlak – PM

By Sunday May 31st, 2009 No Comments

JEJU, Korea Selatan 1 Jun – Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan kemenangan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti bukan kemenangan mutlak yang boleh dibanggakan.

Perdana Menteri berkata, ia satu kemenangan yang tidak memberangsangkan kerana bilangan pengundi di bawah 50 peratus dan bilangan undi yang diperoleh parti itu juga merosot kira-kira 1,300 undi.

“Kemenangan ke atas calon Bebas bukan kayu ukur populariti. Ia bukan kemenangan mutlak yang boleh dibanggakan,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Konvensyen Antarabangsa Jeju di sini hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri menyampaikan ucaptama pada upacara penutup Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ASEAN-Korea Selatan di tempat yang sama.

Hanya 46 peratus atau 7,100 daripada 15,384 pengundi berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka pada pilihan raya kecil DUN Penanti hari ini yang dimenangi calon PKR, Dr. Mansor Othman dengan sekadar meraih 6,052 undi.

Tiga calon Bebas iaitu bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Aminah Abdullah, ahli perniagaan berketurunan Siam, Nai Khan Ari dan pengusaha kem motivasi, Kamarul Ramizu Idris hilang wang pertaruhan.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, calon PKR, Mohammad Fairus Khairuddin memperoleh 7,346 undi.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, peratusan keluar mengundi pada pilihan raya kecil DUN Penanti, semalam, jauh lebih rendah dan rekod paling buruk dalam sejarah pilihan raya di negara ini.

Keputusan pilihan raya itu juga jelas menunjukkan sebahagian besar pengundi tidak mahu keluar mengundi kerana mungkin tidak bersetuju dengan cara pilihan raya itu diadakan kerana mahu menyelesaikan masalah dalaman PKR.

Sumber : Utusan Malaysia

Leave a Reply