News_archive

Kekuatan 1Malaysia rentasi antarabangsa

By Tuesday June 16th, 2009 No Comments

KUCHING 17 Jun – Konsep 1Malaysia mempunyai kekuatan bukan hanya di peringkat dalaman bahkan boleh diterjemahkan hingga merentasi peringkat antarabangsa memandangkan negara ini mempunyai kelebihan strategik, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, kelebihan strategik yang dimaksudkan adalah konsep pintu masuk negara untuk mempunyai hubungan dengan negara-negara kuasa tamadun dunia seperti China, India, Timur Tengah dan dunia Melayu (Indonesia).

Katanya, hubungan baik Malaysia dengan negara-negara besar seumpama itu sudah pasti memberi kelebihan kepada negara ini terutamanya dalam bidang pelaburan serta dana kewangan.

“Kekuatan kita ini bukan sahaja soal dalaman tetapi boleh diterjemahkan sebagai kelebihan strategik kepada negara di peringkat dunia.

“Baru-baru ini saya melawat China dan mendapat sambutan yang luar biasa daripada kerajaannya tetapi untuk apa, sudah semestinya untuk memberi kebaikan kepada Malaysia dari segi pertolongan dana malah mereka berminat untuk meningkatkan pelaburan ke negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Makan Malam Bersama Rakyat di sini, malam ini.

Hadir sama Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai serta Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam.

Najib juga memberitahu, bank terbesar dunia iaitu di China turut berminat untuk membuka cawangan di negara ini memandangkan Malaysia mempunyai kelebihan strategik.

Katanya, Malaysia turut mempunyai hubungan baik dengan Indonesia terutama Presidennya, Susilo Bambang Yudhoyono yang sentiasa berhubung dengan beliau menerusi telefon mengenai masalah membabitkan kedua-dua negara termasuk isu Ambalat dan Manohara.

Tambahnya, kerajaan juga akan meningkatkan hubungan dengan India dan merancang untuk ke negara tersebut tidak lama lagi.

“Maknanya negara-negara ini mempunyai perasaan yang baik terhadap Malaysia dan inilah kelebihan kita bukan sahaja dalam konteks dalaman tetapi kita terjemahkan kepada kekuatan di era globalisasi ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Najib berkata, Sarawak berpotensi besar dalam membekalkan sumber tenaga yang berkapasiti tinggi serta murah kepada negara untuk menuju ke arah pembangunan yang lebih pesat.

Menurut beliau, satu-satunya negeri yang mampu menampung projek yang mempunyai kapasiti tenaga yang besar hanya boleh dilaksanakan di Sarawak memandangkan Semenanjung tidak mampu berbuat demikian.

Sumber : Utusan Malaysia

Leave a Reply