News_archive

Kejohanan Golf Sime Darby LPGA Platform Yang Betul Promosi Golf Wanita Dan Pelancongan

By Ahad Oktober 16th, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) — Kejohanan Golf Sime Darby LPGA Malaysia 2011 adalah platform yang betul untuk mengetengahkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang menarik selain mempromosi lebih banyak keseronokan dalam golf wanita dan sukan secara keseluruhan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kerajaan menyokong usaha ini dengan sepenuh hati, kami mahu mempromosi sukan di negara ini. Kami mahu mempromosi gaya hidup yang sihat, kami mahu menyokong industri pelancongan di negara ini,” kata beliau pada majlis penutupan dan penyampaian hadiah kejohanan golf empat hari itu di Kuala Lumpur Golf and Country Club di sini Ahad.

Pada majlis itu, Najib menyampaikan trofi dan US$285,000 (RM900,000) kepada pemain nombor empat dunia Na Yeon Choi dari Korea Selatan yang menjuarai Kejohanan Sime Darby LPGA Malaysia 2011.

Catatan keseluruhan beliau selama empat hari iaitu 269 adalah satu pukulan lebih baik daripada pemain nombor satu dunia Yani Tseng yang bangkit semula setelah ketinggalan dengan melakukan penyudah 6 bawah 65 dan mengumpul 270 dalam kejohanan itu.

Pemain Sepanyol Azahara Munoz di tempat ketiga dengan 272 manakala Brittany Lang dari Amerika Syarikat, iaitu pendahulu pada hari pertama dan kedua selain mendahului semasa berlangsungnya sebahagian daripada pusingan akhir, sekadar melakukan 2 atas 73 untuk berkongsi tempat kelima dengan rakan senegara dari Amerika Stacy Lewis dengan 275.

Sumber : Bernama

Leave a Reply