News_archive

Kejayaan Memberangsangkan GTP Berpaksi Amanah Kepada Rakyat – Najib

By Monday March 28th, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kejayaan memberangsangkan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dalam meningkatkan taraf hidup rakyat adalah terhasil daripada usaha berterusan berpaksikan amanah kepada rakyat.

Perdana Menteri berkata kejayaan yang amat signifikan dan memberangsangkan itu tidak dicapai dengan mudah sebaliknya menuntut masa, usaha serta dedikasi yang tinggi oleh semua pihak.

“Kejayaan ini dapat dilihat kerana berpaksi kepada usaha gigih, semangat kental, pengorbanan tinggi dan kesanggupan kita bekerja sebagai satu pasukan demi kepentingan rakyat dan negara yang tercinta.

“Namun, tidak dapat kita nafikan terdapat beberapa kekangan dan rintangan yang kita lalui dan kita atasi,” katanya pada Malam Transformasi Bersama Rakyat Untukmu Rakyat dan pelancaran Laporan Tahunan GTP 2010 di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini Ahad malam.

Hadir sama isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan semua menteri yang terlibat dalam enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Najib berkata, GTP, satu agenda besar kerajaan dilahirkan menerusi tinjauan dan analisa yang mendalam berhubung kehendak dan aspirasi rakyat, di mana kerajaan berusaha merealisasikannya untuk dinikmati semua rakyat.

Beliau berkata ketika GTP dilancarkan pada Januari tahun lepas, kerajaan sedar satu amanah besar telah diletakkan rakyat terhadap kerajaan di mana aspirasi dan harapan mereka perlu dilaksanakan secepat mungkin.

Perdana Menteri berkata, setelah setahun dilaksanakan, kejayaan cemerlang GTP bagi semua enam NKRA kini boleh dilihat oleh semua rakyat.

Enam NKRA tersebut ialah mengurangkan kadar jenayah, memerangi rasuah, memperbaiki pencapaian pelajar, meningkatkan taraf hidup isi rumah berpendapatan rendah, memperkasa prasarana luar bandar dan memperbaiki pengangkutan awam di bandar.

Katanya, antara kejayaan yang telah dicapai ialah indeks jenayah negara dapat diturunkan buat kali pertama dalam tempoh empat tahun sebanyak 35 peratus dan indeks jenayah jalanan sebanyak 15 peratus, penyusutan paling banyak dalam sejarah negara.

Berkongsi maklumat yang diperolehi ketika melawat bandar Muar, Johor semalam, Najib berkata beliau telah dimaklumkan kadar jenayah, khususnya jenayah jalanan di daerah itu telah berjaya dikurangkan sebanyak 50 peratus hasil usaha melalui pengenalan NKRA itu.

Beliau berkata tahun 2010 juga telah menyaksikan peningkatan tinggi pencapaian pelajar di mana sehingga kini 700,000 murid sekolah mendapat pendidikan awal dengan keupayaan membaca dan mengira dapat ditingkatkan dengan begitu ketara.

Najib berkata dalam usaha membasmi rasuah, penggubalan Akta Pemberi Maklumat, yang diperkenalkan tahun lepas, adalah tindakan sangat bermakna pada rakyat, manakala tindakan yang diambil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengubah persepsi rakyat ke arah lebih positif dan kini lebih yakin dengan usaha kerajaan.

Bagi NKRA pengangkutan awam bandar, negara telah mencatat 2.34 juta penumpang Transit Aliran Ringan (LRT) beserta peningkatan 192 peratus penumpang bas transit, kejayaan yang amat memberangsangkan, katanya.

Najib berkata, kerajaan juga telah berjaya mengubah nasib lebih dua juta penduduk luar bandar dengan membina jalan raya sejauh 750 kilometer, membekalkan kemudahan air bersih dan elektrik kepada 36,723 isi rumah dan membina serta membaik pulih 16,962 buah rumah.

“Kita juga dapat mengurangkan sebanyak 99 peratus isi rumah miskin tegar. Ini merupakan pencapaian yang sangat bermakna dan belum pernah tercatat dalam sejarah negara.

“Ia bukan mudah dilakukan namun kita berjaya melaksanakannya,”katanya.

Buku laporan tahunan GTP terbitan Jabatan Perdana Menteri setebal 268 muka surat kini boleh dimuat turun melalui laman web www.pemandu.gov.my.

Laporan tahunan pertama GTP itu membuat penilaian terhadap semua yang berlaku pada Tahun 1-Fasa 1 (2010-2012) GTP yang menonjolkan banyak kejayaan dicapai selain juga kelemahan yang ada, pengajaran penting yang telah dipelajari dan langkah seterusnya yang perlu diambil untuk mencapai Wawasan 2020.

Sumber : Bernama

Leave a Reply