News_archive

Keharmonian Antara Agama Wujud Menerusi Semangat 1Malaysia – Dr Koh

By Thursday February 2nd, 2012 No Comments

KUALA LUMPUR, 2 Feb (Bernama) — Semangat 1Malaysia dan ketaatan kepada ajaran agama besar merupakan asas kukuh kepada keharmonian antara agama di Malaysia dan di lain tempat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Beliau yang juga Presiden Gerakan Khamis menyampaikan ucapan selamat kepada semua rakyat Malaysia sempena Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang disambut pada minggu pertama bulan Februari.

Ia pertama kali disambut tahun lalu.

Dr Koh berkata rakyat Malaysia dari tiga agama besar dan kebudayaan mempunyai sebab istimewa untuk mengingati minggu keharmonian berkenaan.

“Malaysia khususnya dirahmati kerana minggu pertama Februari turut bersempena dengan tiga perayaan agama dan kebudayaan besar iaitu sambutan hari lahir Nabi Muhammad atau Maulidur Rasul pada 5 Feb, Chop Goh Meh pada 6 Feb dan Thaipusam pada 7 Feb,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata rakyat Malaysia perlu mengambil peluang itu untuk mengutuk, memerangi dan membendung pelampau di dalam masyarakat dengan menekankan prinsip kesederhanaan dan inklusif selaras dengan semangat 1Malaysia seperti yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sumber : Bernama

Leave a Reply