News_archive

Kehadiran Perdana Menteri Ke Kawasan Pedalaman Disambut Penduduk Ibarat Pesta

By Tuesday April 12th, 2011 No Comments

KUCHING, 12 April (Bernama) — Terkejut. Itulah yang boleh dilihat pada wajah kebanyakan penduduk di beberapa kawasan pedalaman di Sarawak iaitu Saratok, Betong, Sri Aman dan Lubok Antu apabila melihat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak datang kepada mereka dan bersalaman, dalam lawatannya ke kawasan itu seharian pada Isnin.

Kebanyakan mereka hampir tidak percaya bahawa mereka benar-benar bersemuka dengan Perdana Menteri dan hakikat bahawa pemimpin nombor satu negara itu sudi datang berjumpa mereka.

Kerana itu, masyarakat di kawasan yang dikunjungi seolah-olah berpesta apabila orang ramai berkumpul keluar untuk melihat wajah Perdana Menteri dan ada juga peniaga yang meninggalkan sementara premis perniagaan mereka.

Dalam kunjungan itu juga, Perdana Menteri mengenal pasti beberapa masalah penduduk di kawasan terlibat dan memberi kelulusan segera bagi masalah-masalah yang beliau rasakan kritikal.

Najib mengadakan kunjungan ke kawasan-kawasan itu, sesuatu yang tidak pernah diduga masyarakat di kawasan itu, bermula dengan Saratok.

Menaiki helikopter dari Kuching bermula 8.45 pagi, beliau menjadikan Saratok sebagai destinasi pertamanya dan tiba pada pukul 9.30 pagi. Sebaik sahaja Perdana Menteri tiba di Saratok, pekan Saratok yang sebelum ini tenang, dipenuhi ribuan manusia yang tiba-tiba datang apabila mengetahui kehadiran Najib.

Di Saratok, yang terletak kira-kira 300km dari sini, Najib meluluskan projek pembinaan jalan dan loji air Sungai Krian di daerah itu.

Beberapa pengusaha premis perniagaan dan pemilik hotel yang ditemui jelas lega dengan keputusan itu kerana masalah utama mereka adalah tekanan air yang terlalu rendah menyebabkan bekalan air terputus, kadang-kadang sehingga dua minggu.

Perdana Menteri kemudian bergerak ke Masjid Kampung Beladin, Betong, satu kawasan yang agak terpencil kerana untuk ke kampung itu terpaksa menaiki feri.

Di situ, Najib meminta penduduk dan pihak yang berkaitan mencari lokasi jeti untuk pendaratan ikan memandangkan kebanyakan penduduk di situ menjadi nelayan, dan beliau akan meluluskan peruntukannya.

Dari Kampung Beladin, beliau ke Spaoh, Betong dan di sana beliau meluluskan pula peruntukan RM4.5 juta untuk penyelidikan ikan empurau, sejenis ikan air tawar yang hampir pupus di Sarawak.

Harga seekor ikan empurau matang seberat tiga kilogram boleh mencecah RM2,800 hingga RM3,000. Ikan berkenaan hidup di hulu sungai berair jernih kini hampir pupus disebabkan oleh pencemaran alam sekitar.

Beliau kemudiannya ke Sri Aman untuk melawat Hospital Sri Aman, yang telah wujud sejak 1959 tetapi sehingga kini masih digunakan.

Menyedari hospital itu sudah tidak sesuai dalam keadaan sekarang, Perdana Menteri mengumumkan pembinaan hospital baru Sri Aman dengan kos RM200 juta dan memiliki 108 katil.

Pembinaannya akan dimulakan tahun ini juga dan dijangka siap pada 2013.

Perdana Menteri turut meminta Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai untuk menempatkan sekurang-kurangnya seorang doktor pakar di hospital itu dengan segera, kerana ketika ini bagi pesakit yang serius, mereka akan dibawa ke Kuching menggunakan ambulans melalui perjalanan selama tiga jam.

Najib mengakhiri lawatan dengan mengunjungi dua kawasan dalam kawasan Lubok Antu iaitu Engkilili dan Batang Ai, sebelum kembali ke Kuching dan tiba kira-kira 7 malam.

Di Engkilili, Najib minum di Cafe Melanau, salah sebuah kedai makan di pekan Engkilili.

Salah seorang pekerja di kedai makan itu berkata apabila diberitahu dia perlu menyediakan makanan untuk Perdana Menteri, dia hanya ketawa kerana tidak percaya orang seperti Perdana Menteri akan makan di kedai itu.

“Lepas Perdana Menteri datang… saya terkejut. Kemudian selepas berucap dia masuk ke dalam kedai, barulah saya percaya, apa yang diberitahu itu memang betul. Tak sangka dia sanggup datang tempat macam ini,” katanya.

Dalam ucapannya di Engkilili, Najib berkata Sarawak adalah sebuah negeri yang besar dan kerana itu untuk membawa pembangunan memerlukan masa.

“Semua masalah rakyat BN boleh selesaikan tetapi memerlukan sedikit masa. Tidak boleh selesai dalam masa satu tahun. Ini terbukti dengan banyak projek NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara) sedang berjalan,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply