News_archive

Keaslian Kepelbagaian Budaya Jadikan Malaysia Negara Hebat

By Saturday January 28th, 2012 No Comments

SITIAWAN, 29 Jan (Bernama) — Keaslian dalam kepelbagaian budaya menjadikan Malaysia sebuah negara yang hebat ditambah pula dengan dasar-dasar yang diamalkan terutama dasar transformasi nasional, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata tiada negara lain yang boleh menandingi Malaysia daripada segi kepelbagaian budaya dan perkara itu menjadikan Malaysia sebuah negara yang istimewa.

“Di samping itu kita amalkan dasar ekonomi yang terbuka, dasar ‘free market’ yang mengekalkan keharmonian negara termasuk dasar ‘pro growth’ dan ‘pro business’ apatah lagi dasar transformasi nasional,” ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina 2012 di padang terbang Sitiawan di sini, Sabtu malam.

Beliau berkata dasar transformasi nasional yang diamalkan selama ini memberi manfaat kepada semua kaum di negara ini.

“Semua kaum mendapat lebih banyak faedah (daripada dasar-dasar kerajaan) di mana peniaga akan meraih keuntungan yang lebih banyak… melalui ‘facilitation fund’ juga akan membantu lebih banyak peniaga untuk mendapat peluang ekonomi yang lebih luas,” katanya.

Najib berkata kerajaan juga mempunyai hala tuju yang jelas di mana dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, banyak idea yang tidak terfikir sebelum ini dapat dicapai.

Beliau berjanji sekiranya rakyat terus memberi mandat kepada kepimpinan kerajaan sedia ada, lebih banyak perubahan positif terhadap landskap sosial dan ekonomi dapat dilakukan.

“Saya harap semua kaum akan bersama-sama untuk mencapai hasrat untuk menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata kebudayaan masyarakat Cina perlu dikekalkan kerana ia satu keistimewaan yang tidak terdapat di negara lain di Asia Tenggara.

Ini kerana, katanya pengasas negara sebelum ini telah membentuk permuafakatan dalam negara di mana mereka tidak memilih jalan asimilasi, sebaliknya memilih jalan integrasi dan saling menghormati antara kaum.

Pada majlis itu, Najib mengumumkan Chingay Johor yang merupakan aktiviti tarian yang diadakan setiap tahun sebagai sebahagian daripada perayaan Tahun Baru Cina, akan digazetkan sebagai Warisan Negara supaya kebudayaan itu diteruskan dan dikekalkan.

Perdana Menteri turut melahirkan rasa gembira dan kagum terhadap penganjuran rumah terbuka nasional yang paling besar yang pernah diadakan apabila dihadiri kira-kira 50,000 pengunjung pelbagai kaum.

Sumber : Bernama

Leave a Reply