News_archive

Keadaan Terburuk Banjir Di Johor Telah Berlalu, Kata PM

By Tuesday February 1st, 2011 No Comments

LABIS, 1 Feb (Bernama) — Sehari selepas pulang daripada lawatan rasmi ke Abu Dhabi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor pada Selasa melawat mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di beberapa pusat pemindahan di Johor.

Perdana Menteri yang tiba di Labis tengah hari Selasa berkata, berdasarkan daripada taklimat yang diterimanya tentang keadaan terkini banjir di Johor, beliau diberitahu keadaan terburuk bagi bencana banjir di negeri ini telah berlalu.

“Berdasarkan kepada taklimat, nampaknya (keadaan terburuk banjir di Johor telah berlalu), tetapi kita mesti berjaga-jaga. Keadaan cuaca terlibat, fenomena (cuaca) yang luar biasa itu telah beralih ke kawasan lain, ke arah selatan di kawasan perairan.”

“Bagaimanapun, kita perlu sentiasa berhati-hati kerana perubahan cuaca boleh menyebabkan banjir,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemindahan banjir di Dewan Kampung Ayer Panas, di sini.

Cuaca panas terik dan cerah di Johor sejak pagi memberi peluang kepada mangsa-mangsa banjir di negeri ini pulang ke rumah masing-masing, walaupun lebih daripada 40,000 mangsa masih ditempat di pusat-pusat pemindahan seluruh negeri.

Yang turut hadir pada sidang media itu termasuk Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Abdul Latiff Yusof.

Menurut Perdana Menteri, bencana banjir yang melanda Johor disebabkan fenomena cuaca yang luar biasa di mana jumlah hujan yang diterima negeri itu dalam sehari bersamaan dengan jumlah diterimanya dalam dua bulan.

“Ia adalah suatu fenomena cuaca yang luar biasa, di mana jumlah hujan yang turun itu tidak dapat diduga,” katanya sambil menambah, fenomena luar biasa itu disebabkan oleh faktor pemanasan iklim dunia.

Ditanya mengenai persediaan di dalam menangani bencana banjir di Johor, Najib berkata, beliau amat berpuas hati dengan tindakan pantas kerajaan negeri dan agensi kerajaan pusat membantu memindahkan mangsa-mangsa banjir.

Katanya tindakan pantas operasi membantu mangsa banjir di Johor itu merupakan hasil kerjasama erat yang sedia terjalin di antara kerajaan negeri dan pusat.

Usaha membantu mangsa-mangsa banjir itu termasuk, memastikan bekalan makanan yang mencukupi, selimut, tikar serta bekalan perubatan dan rawatan diberikan kepada mereka yang memerlukan.

Hasil tinjauannya di pusat pemindahan mangsa banjir di Dewan Kampung Ayer Panas itu, Najib berkata, mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan menikmati makanan segar seperti ikan, ayam dan daging.

Mengenai bantuan wang ehsan kepada mangsa banjir di Johor, beliau berkata, ia akan diberikan kepada mangsa selepas ini bagi membantu mereka yang memerlukannya.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan menentukan kadar wang ehsan itu mengikut formula yang telah ditentukan.

Ahmad Zahid pula berkata, sebanyak 20 platun anggota tentera berserta aset dan kelengkapan mereka telah dikerah bagi memberi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir negeri Johor.

Pada lawatan ke pusat pemindahan banjir di Dewan Kampung Ayer Panas itu, isteri Perdana Menteri turut menyerahkan sumbangan sebanyak RM30,000 daripada Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) kepada mangsa-mangsa banjir di Johor.

Isteri Menteri Besar Johor, Prof Datuk Dr Jemilah Ariffin menerima sumbangan itu.

Sumber : Bernama

Leave a Reply