News_archive

Kad Ucapan Dan Buah-buahan Hasil Tangan Sendiri Cenderahati Buat Najib

By Friday January 27th, 2012 No Comments

SITIAWAN, 28 Jan (Bernama) — Dua buah keluarga yang tinggal di Taman Sepakat di sini amat terharu dengan kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor ke teratak mereka hari ini, malah kegembiraan itu dirasai sejak dimaklumkan hal itu seminggu lepas.

Tan Kee Siew, 40, dan isteri Chong Lee Chuan, 38, berkata inilah kali pertama mereka menerima kunjungan pemimpin utama negara sebagai tetamu.

“Kami terkejut, pertama kali juga akan bersua dengan seorang perdana menteri. Kami sediakan sedikit makanan dan buah-buahan untuk dijamu kepada Datuk Seri Najib dan Datin Seri Rosmah,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di sini.

Sebagai tanda penghargaan, beliau sekeluarga menghadiahkan sebakul buah betik dan jambu batu tanpa biji yang ditanam sendiri kepada Najib.

Sementara itu, bapa Kee Siew, Tan Sing Leng, 63, yang bersara sebagai pekerja sektor pembinaan, berkata pada mulanya beliau menyangka makluman itu hanya sebagai ‘main-main’.

“Tapi apabila ia benar, saya pula tidak dapat tidur malam sebab gembira sangat,” katanya, yang meminta dua anak lelaki dan perempuannya menyediakan kad ucapan bersaiz A4 yang dibuat sendiri untuk ditandatangani Perdana Menteri sebagai tanda kenang-kenangan.

Sementara itu keluarga Ling Tai Yew, 52, pula masih lagi terkejut selepas dimaklumkan tentang kunjungan Najib ke rumah beliau hampir seminggu lepas.

“Seolah-olah bermimpi… namun (saya sedar) ia benar-benar terjadi sebaik sahaja bersalaman dengan seorang pemimpin yang saya kagumi itu,” katanya.

Ling yang tiada pekerjaan tetap itu turut menyediakan sendiri kalungan bunga yang dihadiahkan kepada Perdana Menteri.

Najib dan isteri sempat meluangkan masa hampir setengah jam di kedua-dua rumah berkenaan sebelum menghadiri Majlis Rumah Terbuka Malaysia sempena sambutan Tahun Baru Cina 2012 peringkat kebangsaan yang diadakan di Padang Lapangan Terbang Sitiawan di sini.

Walaupun Perdana Menteri yang tiba pada 8.30 malam di kawasan perumahan itu meluangkan masa yang sangat terhad untuk menziarahi kedua-dua keluarga berkenaan, namun kegembiraan hampir 300 penduduk Taman Sepakat dan sekitarnya dengan kehadiran Najib dapat dilihat apabila mereka mula menanti kedatangan beliau sejak 6 petang.

Najib diiringi Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Kehadiran Najib dan Rosmah turut diserikan dengan persembahan Tarian Singa daripada Persatuan Che Wan Khor dari Ipoh serta dijamu dengan buah-buahan dan minuman ringan.

Sumber : Bernama

Leave a Reply