News_archive

Kabinet Tentukan Penyambungan Kontrak Anjur F1 Selepas 2015 – Najib

By Sunday April 10th, 2011 No Comments

SEPANG, 10 April (Bernama) — Keputusan sama ada Malaysia mahu meneruskan penganjuran perlumbaan Formula Satu (F1) akan hanya ditentukan oleh Kabinet selepas kontraknya tamat pada 2015, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata kabinet akan kaji perkara itu dengan terperinci sebelum membuat sebarang keputusan mengenainya.

“Tengok dululah.. kerana kita akan bawa perkara ini ke Kabinet dahulu. Malah bilangan (penonton) yang hadir tahun ini lebih ramai daripada tahun sudah,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan perlumbaan Grand Prix F1 Petronas Malaysia 2011 di Litar Antarabangsa Sepang di sini Ahad.

Beliau berkata perlumbaan itu memberi kesan positif terhadap negara dengan meningkatkan lagi profil Malaysia di persada antarabangsa.

Najib berkata demikian semasa ditanya sekiranya Malaysia akan meneruskan penganjuran perlumbaan F1 selepas kontrak tamat pada 2015, selepas Australia sebelum ini didesak supaya tidak lagi menganjur perlumbaan F1 akibat kerugian.

Kontrak penganjuran F1 Malaysia dibuat dengan Persekutuan Automobil Antarabangasa (FIA).

Sementara itu Perdana Menteri berkata edisi ke-13 perlumbaan Grand Prix F1 Petronas Malaysia di Litar Sepang hari ini adalah lebih baik berbanding tahun lepas.

Litar Antarabangsa Sepang mencatat kunjungan 105,018 penonton sepanjang tiga hari merangkumi sesi latihan bebas, kelayakan dan hari perlumbaan.

Perdana Menteri berkata perlumbaan yang melibatkan 12 pasukan itu berjalan lancar dan amat kompetitif.

“Semua persiapan dapat diatur dengan kemas dan tahniah kepada semua pemenang terutama sekali yang mewakili pasukan Lotus Renault, yang mendapat tempat ketiga,” katanya.

Ketika ditanya sama ada akan ada pertambahan jumlah syarikat Malaysia yang terlibat secara langsung dalam pasukan-pasukan F1, Najib berkata pembabitan syarikat Malaysia yang ada sekarang sudah mencukupi.

“Cukuplah dengan tiga yang ada sekarang ini..itu pun dah banyak,” katanya.

Perlumbaan F1 tahun ini melibatkan tiga pasukan yang mempunyai kaitan dengan Malaysia iaitu penyertaan Proton menerusi Lotus Renault GP, penyertaan syarikat petroleum negara Petronas dalam Mercedes GP Petronas F1 Team, dan Team Lotus yang merupakan pasukan F1 pertama Malaysia.

Perlumbaan hari ini menyaksikan kemenangan Sebastian Vettel dari pasukan Red Bull Racing dengan catatan masa 1 jam 37 minit 39.832 saat, sementara Jenson Button dari pasukan Vodafon McLaren Mercedes dan Nick Heidfeld dari pasukan Lotus Renault GP masing-masing di kedudukan kedua dan ketiga.

Sementara itu Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata rangsangan yang luar biasa ditunjukkan oleh rakyat dalam memberi sokongan, mampu menjadi satu budaya baru untuk memahami bidang permotoran.

“Malah ia akan menjadi galakan kepada anak muda negara bukan sahaja untuk menjadi pelumba tapi juga dari segi penglibatan dalam bidang kejuruteraan perlumbaan F1 seperti ini,” katanya.

Sementara itu bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang merupakan peneraju penganjuran F1 negara, menyifatkan perlumbaan edisi kali ini sebagai yang bersejarah buat negara dalam arena F1, selaras dengan pembabitan syarikat dari Malaysia.

“Saya rasa ia perlumbaan yang hebat. Ia sangat baik, untuk melihat kereta (Lotus Renault) yang pada dasarnya dari Malaysia, mendapat tempat ketiga dalam perlumbaan di Malaysia.

“Ia adalah satu acara antarabangsa yang menarik jutaan peminat menyaksikan perlumbaan anjuran Malaysia, saya amat gembira hari ini,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply