Blog

Kabinet Negeri Sarawak

By Saturday May 14th, 2016 No Comments

kabinetsarawak

Seperti yang kita sedia maklum, Alhamdulillah, rakyat Bumi Kenyalang telah membuat pilihan dan memberikan mandat kepada Barisan Nasional pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 baru-baru ini.

Kesinambungan kepada itu, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem telah mengumumkan Kabinet negeri yang baru semalam.

Berdasarkan lantikan dan pemilihan, saya lihat bahawa komposisi dari segi kaum dan parti adalah saksama dan adil, mewakili kepentingan semua pihak.

Tahniah saya ucapkan kepada Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Tan Sri Dr. James Jemut Masing dan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg atas pelantikan sebagai Timbalan Ketua Menteri.

Saya percaya mereka akan berkhidmat bersama-sama Tan Sri Adenan Satem dengan setulus hati dalam membawa Sarawak lebih maju dan berjaya.

Sehubungan dengan itu juga, saya menerima peletakan jawatan Datuk Amar Douglas Uggah Embas sebagai Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi.

Beliau telah berkhidmat dengan cemerlang dan banyak menyumbang kepada sektor komoditi dalam jawatan sebelum ini, antaranya penubuhan Majlis Negara-negara Pengeluar Minyak Sawit yang telah membantu dalam memastikan kestabilan harga sawit dan membangunkan industri hiliran.

Saya yakin kecemerlangan ini akan beliau bawa dalam jawatan baru sebagai Timbalan Ketua Menteri Sarawak.

Pada masa sama, kita masih lagi bersedih dengan tragedi yang menimpa rakan seperjuangan kita ketika bertugas di Sarawak.

Penstrukturan semula Jemaah Menteri Persekutuan dan lantikan baru bagi memenuhi keperluan terkini serta pengisian jawatan akan diumumkan dalam masa terdekat, setelah pemergian Allahyarhamah Dato’ Noriah Kasnon dan mengambil kira juga lantikan baru Datuk Amar Douglas Uggah di Sarawak.

Kepada ahli-ahli Kabinet negeri Sarawak, selamat menjalankan tugas dan menunaikan janji Barisan Nasional.

Leave a Reply