News_archive

Kabinet mendahulukan rakyat

By Thursday April 9th, 2009 No Comments

PUTRAJAYA 9 April – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan barisan Kabinet baru terdiri daripada 28 orang menteri dengan 25 kementerian yang responsif terhadap keperluan rakyat dan sedia berkhidmat kepada generasi akan datang.

Menurut Perdana Menteri, saf tersebut adalah pasukan yang mencerminkan kekuatan serta kemajmukan rakyat dari setiap pelosok negara sejajar dengan konsep Satu Malaysia.

Serentak itu, beliau melahirkan keyakinan bahawa kesemua mereka mampu berkongsi iltizam yang padu bagi memacu negara ke arah kecemerlangan. “Kabinet baru ini menjadi tanda kepada satu pendekatan baru pentadbiran kerajaan yang lebih telus, bertanggungjawab serta berfokus mendahulukan rakyat.

“Untuk maksud tersebut, saya akan memulakan usaha ini dengan memperkenalkan satu paradigma yang bakal memacu prestasi dan pencapaian melalui pendekatan Petunjuk Prestasi Utama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan barisan Kabinet baru di Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini yang turut disiarkan secara langsung oleh stesen-stesen televisyen utama.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.

Najib memberitahu, paling penting, mereka yang dilantik itu akan memenuhi keperluan rakyat dengan mencari penyelesaian serta memulihkan ekonomi negara berikutan kesan kemelesetan ekonomi global.

Seterusnya, tambah beliau, mereka akan membangunkan sebuah masyarakat yang bersatu padu dan diperkukuhkan atas dasar kepercayaan serta saling hormat menghormati.

“Barisan ini juga akan membasmi kemiskinan dan meningkatkan pendapatan sebenar untuk semua.

“Selain itu memperkasakan sistem pendidikan nasional dan melibatkan setiap rakyat dalam proses politik negara serta melebarkan wacana nasional,” ujarnya.

Dalam ucapan tersebut, Najib turut menggariskan empat prinsip berikut untuk dikongsi bersama kerajaan dan rakyat:

l Nilai integriti dan piawaian/standard yang tinggi untuk mengekalkan kepercayaan rakyat;

l Bakat dan kebolehan yang sangat diperlukan dalam menempuh saat-saat yang amat mencabar kontemporari ini;

l Ketaatsetiaan dan kepatuhan kepada parti, kerajaan terutamanya kepada tanah air;

l Kebersungguhan dan bersemangat tinggi demi membina sebuah negara yang berdaya saing menempuh abad baru.

Dalam pengumuman barisan Kabinet itu, Najib mengekalkan portfolionya sebagai Menteri Kewangan manakala Muhyiddin beralih ke kementerian baru sebagai Menteri Pelajaran.

Seramai tujuh menteri digugurkan dan enam muka baru dilantik ke jawatan tersebut.

Seramai 22 menteri daripada barisan Kabinet lama dikekalkan dan sembilan timbalan menteri baru dilantik.

Satu kementerian baru diwujudkan iaitu Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dengan mandat memajukan konsep pembangunan mapan serta pengamalan teknologi hijau.

Dua kementerian dibubarkan dan diserap oleh kementerian lain yang sedia ada.

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dimansuhkan manakala Kementerian Penerangan serta Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan disatukan menjadi Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan.

Sumber : Utusan

Leave a Reply