News_archive

Kabinet baru utamakan pembaharuan

By Thursday April 9th, 2009 No Comments

Perdana Menteri tak mahu rakyat pandang serong kepada menteri tidak tersenarai semula

“JAWATAN dalam Kabinet tak boleh dilobi,” kata Datuk Seri Najib Razak sejurus selesai mengumumkan senarai 28 menteri dan 40 timbalan menteri di Putrajaya, semalam.

Perdana Menteri ditanya apakah ia satu kejanggalan buatnya kerana selepas 33 tahun bergelumang dalam politik, ini adalah kali pertama untuknya membuat pengumuman mengenai pelantikan Kabinet. “Yang nak lobi dengan saya, tak berapa tapi kuat (melobi) di keliling saya. Ada yang minta nak hantar rombongan, saya kata ‘no’,” katanya dalam taklimat kepada pengarang media selepas pengumumannya itu.

Kepada Najib, kesegeraan dalam pembentukan Kabinet adalah keutamaannya sebagai menunjukkan kerajaan adalah serius tanpa mahu berlengah dalam memantapkan lagi jentera pentadbirannya.

Daripada tarikh beliau mengangkat sumpah Jumaat lalu, Kabinet yang menyaksikan pelbagai perubahan semalam, dibentuk dalam tempoh hanya seminggu. “Jika tidak kerana pilihan raya kecil (Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Air), saya mungkin dapat menamakan mereka lebih awal,” katanya.

Rombakan terbesar terserlah di kalangan menteri dari Umno, dengan hanya Datuk Seri Nazri Aziz dan Datuk Seri Khaled Nordin yang dikekalkan di portfolio asal masing-masing di Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Pengajian Tinggi.

Tan Sri Muhyiddin Yassin, selain dinamakan sebagai Timbalan Perdana Menteri, turut beralih ke Kementerian Pelajaran.

Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri Dr Rais Yatim, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Datuk Mustapa Mohamed, Datuk Noh Omar, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Shaziman Abu Mansor, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semuanya harus bermula dari awal dalam portfolio baru masing-masing. Pelantikan baru antara lain membabitkan Datuk Ahmad Husni Hanadzlah, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Datuk Anifah Aman, Mej-Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom dan Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin selain Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dari Gerakan dan Datuk Kong Cho Ha dari MCA.

“Ini semua sebahagian daripada proses pembaharuan yang hendak saya terapkan. Sesetengah daripada mereka memang sudah sampai masa untuk berpindah,” kata Perdana Menteri.

Najib, dalam mengutamakan integriti bagi pemilihan barisan kepemimpinannya kali ini, bagaimanapun tidak mahu orang ramai memandang serong kepada menteri yang tidak tersenarai semula.

Tan Sri Muhammad Muhd Taib, Datuk Seri Mohamed Zin Mohamed, Datuk Seri Azalina Othman, Datuk Seri Syed Hamid Albar, Datuk Seri Zulhasnan Rafique dan Tan Sri Amirsham Abd Aziz, adalah antara yang tidak dinamakan semula.

“(Mereka) yang gugur tak semestinya kurang dari segi integriti. Kalau tak ada yang gugur, tak adalah pembaharuan.

“Saya bercakap sendiri dengan mereka tengah hari tadi. Mereka nampaknya faham. Ini adalah kerja paling teruk dalam dunia,” katanya.

Najib turut berkongsi maklumat bagaimana bayangan Kabinetnya sudah difikirkan sejak daripada berakhirnya Perhimpunan Agung Umno, 28 Mac lalu.

Senarai asal dan senarai muktamadnya diakui banyak melalui pindaan sehinggalah lewat malam kelmarin selain mendapati sukar untuk mengurangkan jumlah 29 menteri yang dinamakannya semalam berbanding 32 sebelumnya.

“Saya pilih atas dasar apa yang disenangi rakyat. Saya tengok dari segi parti dan rakyat, (kesudahannya) saya utamakan rakyat.

“Apa yang saya tekankan ialah keberhasilannya. Ia mesti dikaitkan dengan objektif yang hendak dicapai… ia mestilah memberi impak maksimum.

“Bilangan kementerian sudah kurang dua tetapi saya tak boleh nak kurangkan lagi jumlah menteri kerana keluarga kita besar,” katanya.

Kepada soalan tempoh diperlukannya untuk mengukuhkan kembali kepercayaan dan sokongan rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN), Perdana Menteri mengungkapkan satu perumpamaan Cina: “Perjalanan sejauh 1,000 batu bermula dengan langkah pertama. Ini adalah permulaannya.”

Perdana Menteri juga tidak dapat mengelak daripada ditanya mengenai pelantikan Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim dan Datuk Mukhriz Mahathir yang tewas dalam perebutan jawatan Ketua Pemuda, sebagai Timbalan Menteri manakala Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin, tidak tersenarai.

“Khairy masih Ketua Pemuda dan kita akan bantu dia jalankan tugasnya (untuk parti).

“Muka-muka baru ini pula, kita kena beri peluang mengikut tradisi dari zaman Tun Razak lagi.

“Tidak semuanya akan menjadi, termasuk ada yang akan menyukarkan peluang mereka sendiri, tetapi kita mesti beri mereka peluang,” katanya.

Malah, Najib menyimpulkan Kabinetnya semalam kepada satu soalan sama ada beliau berpuas hati dengan barisan pilihannya, dengan jawapan berikut: “Sudah tentulah saya berpuas hati, jika tidak saya tidak akan mengumumkannya.

“Saya mahu orang ramai menanamkan keyakinan dan memberi kepercayaan kepada Kabinet baru ini.”

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply