News_archive

Jumlah Pelanggan Di Premis Makanan MR1M Meningkat 30 Peratus

By Thursday January 26th, 2012 No Comments

GEORGE TOWN, 27 Jan (Bernama) — Jumlah pelanggan di premis makanan yang menyertai program ‘Menu Rakyat 1Malaysia’ (MR1M), sejak dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak lima bulan lepas, meningkat sehingga 30 peratus.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Rohani Abdul Karim berkata peningkatan itu menunjukkan rakyat Malaysia semakin menerima MR1M yang merupakan inisiatif kerajaan membantu mengurangkan beban pengguna.

“MR1M semakin mendapat sambutan menggalakkan dan terbaru menurut pengusaha makanan yang menyertainya, jumlah pelanggan mereka meningkat sehingga 30 peratus dan ini membantu peniaga memperkembangkan lagi perniagaan sedia ada,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan MR1M di kafe Anjung Semarak Universiti Sains Malaysia (USM), di sini Jumaat.

USM merupakan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) kedua yang menawarkan program MR1M selepas Universiti Malaya.

Katanya rakyat Malaysia memilih MR1M kerana harga makanan berpatutan dan menu yang ditawarkan juga berkualiti serta sedap.

Rohani berkata pada tahun ini, pengusaha premis makanan yang berminat untuk menyertai MR1M boleh mendaftar satu daripada dua pakej sama ada sarapan pagi atau makanan tengah hari. Sebelum ini, pengusaha yang menyertai program MR1M mesti menawarkan kedua-dua pakej.

Katanya penyertaan program MR1M akan turut diperluaskan ke kafeteria di premis agensi kerajaan dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta.

Beliau berkata sehingga 12 Jan lepas, 1,254 pengusaha kedai makanan di seluruh Malaysia menyertai MR1M dan pihaknya menyasarkan 3,000 penyertaan tahun ini.

Harga yang ditawarkan di restoran terlibat dengan program MR1M adalah RM2 untuk sarapan pagi dan makan tengah hari RM4 bagi restoran di Semenanjung manakala di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, harga maksimum ialah RM2.50 (sarapan pagi) dan RM5.00 (makan tengah hari).

Rohani berkata KPDNKK turut mempromosikan premis pengusaha makanan yang mengambil bahagian di laman portal www.1pengguna.com dengan menyenaraikan nama restoran, lokasi dan menu.

Sumber : Bernama

Leave a Reply