BlogFeatured Articles

Jom Bantu Rakyat Perak

By Wednesday June 7th, 2017 No Comments

Petang tadi, saya telah bertolak ke Perak untuk lawatan kerja singkat, meninjau perkembangan terbaru di samping melancarkan program dan projek yang memberi manfaat besar kepada rakyat terutamanya mereka yang tergolong dalam kategori memerlukan dan berpendapatan rendah (B40).Dalam usaha merapatkan jurang pendapatan masyarakat, kerajaan tidak berpegang kepada prinsip ekonomi kapitalisme tetapi sentiasa mengamalkan prinsip campur tangan secara bersasar dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan. Saya percaya bantuan-bantuan yang disediakan oleh kerajaan hingga hari ini, tidak lain tidak bukan adalah untuk memelihara kebajikan rakyat. Sebagai contoh, sebentar tadi dua buah keluarga yang sangat daif di Kampung Pak Dollah, Kamunting bakal menerima bantuan dari segi kediaman yang lebih selesa di bawah program Jom Bantu Rakyat tidak lama lagi.

Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Perak di bawah pimpinan Datuk Seri Dr Zambry yang telah mewujudkan Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan dan telah mendapat pengiktirafan dalam usaha mereka membantu golongan miskin dan berpendapatan rendah. Misalnya melalui inisiatif kios bergerak yang menawarkan barang harian pada harga 30% lebih rendah berbanding harga pasaran, tentunya telah membantu menurunkan kos sara hidup buat mereka yang memerlukan.Tidak lama lagi, rakyat Perak bakal mendapat kemudahan jalan-jalan kampung yang diterangi lampu. Dengan peruntukan lebih RM8 juta, sebanyak 12,680 unit lampu akan dipasang sekaligus meningkatkan keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya. Bagi saya ini tentunya akan meningkatkan kualiti hidup penduduk di kawasan kampung-kampung.Alhamdulillah saya juga telah menyerahkan sumbangan wang zakat ziarah kasih sayang Yayasan TH sebentar tadi untuk diberikan terus kepada golongan asnaf yang memerlukan. Tidak seperti yang difitnah pembangkang, Yayasan TH tidak menggunakan duit Tabung Haji, tetapi ini adalah pembayaran zakat yang diwajibkan ke atas keuntungan untuk dibayar kepada rakyat atau majlis-majlis agama. Saya harap pihak-pihak tak bertanggungjawab berhenti memfitnah Tabung Haji kerana institusi ini banyak membantu orang Islam di Malaysia terutamanya dalam memberi subsidi buat jemaah haji. Tanpa Tabung Haji, para jemaah perlu membayar sebanyak RM19,550 berbanding kos selepas subsidi iaitu hanya RM9,980.Banyak lagi bantuan lain yang disediakan oleh kerajaan untuk mereka yang memerlukan, antaranya bantuan pekebun kecil, bantuan musim tengkujuh, bantuan nelayan dan baru-baru ini bantuan kos sara hidup melalui BR1M peringkat kedua juga telah disalurkan. Janganlah merendah-rendahkan rakyat kita dengan memanggil bantuan-bantuan yang diberikan sebagai dedak.

Pengurusan ekonomi kita juga mendapat pengiktirafan dunia apabila Bank Dunia merujuk semula unjuran pertumbuhan ekonomi kita tahun ini kepada yang lebih tinggi pada 4.9% berbanding unjuran terdahulu pada 4.3%. Tidak masuk akal sekali jika negara yang bakal bankrap seperti dicanang pembangkang mendapat pengiktirafan sebegini oleh Bank Dunia.

Insya-Allah, saya berdoa agar usaha-usaha kerajaan dalam membantu rakyat yang memerlukan akan terus diberkati Allah SWT.

Leave a Reply