Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
Jawatankuasa pengurusan tentukan mekanisme ahli - Najib Razak
News_archive

Jawatankuasa pengurusan tentukan mekanisme ahli

By Saturday October 11th, 2008 No Comments

PUTRAJAYA 11 Okt. – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Jawatankuasa Pengurusan Barisan Nasional (BN) akan mencari kaedah sesuai bagi membolehkan rakyat berbilang kaum menyertai BN menerusi sistem keahlian secara terus.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN memberitahu, sistem keahlian secara terus itu wajar dipertimbangkan kerana pada masa ini wujud kecenderungan di kalangan rakyat untuk menyertai parti pelbagai kaum.

”Ada di kalangan rakyat yang mahu menganggotai BN tetapi keberatan untuk menyertai parti komponen, maka mereka boleh memohon keahlian secara terus.

”Oleh itu kita perlu melihat struktur sedia ada, serta syarat dan terma-terma. Ini jawatankuasa pengurusan akan melihat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri rumah terbuka Aidilfitri Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Sidek Hassan di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis rumah terbuka itu ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi serta isteri, Datin Seri Jeanne Abdullah; isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, menteri-menteri Kabinet dan pegawai-pegawai kerajaan.

Najib berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Abdullah supaya BN mewujudkan konsep keahlian secara terus untuk membolehkan rakyat berbilang kaum terlibat secara langsung dengan BN tanpa lagi melalui parti komponen seperti mana amalan sekarang.

Abdullah yang juga Pengerusi BN menyuarakan cadangan itu ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Gerakan Nasional Ke-37 di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Najib, sistem keahlian secara terus itu juga merupakan sebahagian daripada usaha-usaha pembaharuan bagi menjadikan BN terus relevan kepada rakyat Malaysia.

Ditanya sama ada pelaksanaan cadangan itu akan menimbulkan bantahan di kalangan akar umbi BN, beliau menegaskan ia tidak mungkin berlaku.

”Bagaimanapun kita harus membina strukturnya. Dari segi prinsip, saya fikir ia akan diterima. Cuma bagaimana kita hendak melaksanakannya termasuk dari segi syarat, terma-terma dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, mengulas perkara yang sama, Setiausaha Organisasi Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Datuk Peter Chin Fah Kui yang turut ditemui pada majlis rumah terbuka yang sama berkata, tidak rugi untuk BN menimbang cadangan itu kerana pada masa lalu kaedah sama pernah dilaksanakan.

Bagaimanapun, katanya, Majlis Tertinggi BN perlu menetap dan memperincikan siapa yang layak untuk menganggotai BN menerusi sistem keahlian secara terus itu.

”Jika kita boleh pastikan, siapa yang boleh jadi ahli secara terus, saya fikir kita boleh pertimbangkan tetapi ini perlu dibincangkan selanjutnya.

”Ini juga satu cadangan yang boleh kita terima sebagai kaedah untuk mengukuhkan lagi BN pada masa akan datang,” katanya.

Source : Utusan Malaysia

Leave a Reply