News_archive

Jangan taksub tuntut hak

By Tuesday April 28th, 2009 No Comments

PUTRAJAYA 28 April – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengingatkan mana-mana pihak agar jangan terlalu taksub terhadap tuntutan hak dan melupakan tanggungjawab mereka sebagai warganegara.
 
Tegas Perdana Menteri, kewarganegaraan bukan sahaja menggariskan hak tetapi juga menuntut tanggungjawab.
 
“Di bawah konsep Satu Malaysia, kita perlu memastikan tiada rakyat yang terpinggir daripada mendapat perhatian kerajaan.
 
“Bagi kerajaan, meritokrasi bukan bermakna kesaksamaan yang membuta. Malah, kesaksamaan meletakkan sesuatu pada tempatnya yang hak,” katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-10 (MAPPA X) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.
 
Menurut Perdana Menteri, di bawah konsep Satu Malaysia, setiap rakyat yang berkelayakan dan memerlukan bantuan serta pertolongan akan dibantu kerajaan.
 
“Tidak akan ada mana-mana pihak yang akan dicicirkan. Sesungguhnya lagi janganlah mana-mana pihak menganggap mereka adalah warganegara kelas kedua di negara tercinta ini,” katanya.
 
Kata beliau: “Dari itu, seorang anak yang datang dari keluarga miskin tidak kira dari bandar atau luar bandar walau dari etnik manapun, tetapi ternyata mempunyai potensi, sememangnya berhak mendapat bantuan kerajaan berbanding anak-anak golongan berada yang sudah tentu mempunyai peluang pendidikan yang terbaik.”
 
Maknanya, kata Najib, kerajaan boleh menawarkan akses pemula dengan menyediakan datar permainan yang adil tetapi pada masa sama, kerajaan tidak berkemampuan memastikan keberhasilan (outcome) yang sama.
 
Dalam kata lain, kata beliau, kerajaan tidak boleh memainkan peranan ibu bapa, keluarga atau masyarakat setempat.
 
Kerajaan juga bukanlah galang yang boleh mengganti kehendak, kemahuan, usaha serta iltizam seorang pelajar atau peniaga juga usahawan untuk berjaya.
 
“Apa yang kerajaan boleh buat seperti yang saya katakan tadi, adalah menyediakan garis permulaan yang adil.
 
“Pendek kata, antara prinsip-prinsip utama yang mendasari Satu Malaysia adalah kebersamaan dan kekitaan dalam satu keluarga besar,” katanya.

Sumber : Utusan Malaysia

Leave a Reply