News_archive

Jangan Henti Beri Pinjaman, Bantu Kerajaan Galak Pertumbuhan

By Sunday May 10th, 2009 No Comments

KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak berharap bank akan terus mengeluarkan pinjaman di dalam keadaan ekonomi yang sukar sekarang ini dan tidak menarik balik pinjaman dari pelanggan berdaya maju.

“Tanpa kredit perniagaan, syarikat tidak akan berupaya untuk meneruskan kelangsungan hidup,” kata Perdana Menteri semasa menyampaikan ucaptama di Sidang Kemuncak Perbankan Malaysia ke-13 anjuran Institut Strategik dan Kepimpinan Asia di sini hari ini.

Bank katanya tidak boleh menarik balik kredit tanpa sebab yang munasabah.

Menurut Najib, sektor perbankan domestik mencatatkan kunci kira-kira yang sihat dan “mempunyai penampan yang baik dengan kapasiti untuk menyediakan kredit kepada sektor swasta.”

Katanya sektor perbankan dipermodalkan dengan baik dengan nisbah berwajaran modal risiko 13.4 peratus pada akhir Mac 2009 dengan RM44.6 bilion sebagai penampan terhadap kerugian.

Tiada risiko sistematik yang dikenal pasti dengan bank kita,” katanya.

Sehingga Mac, Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata pinjaman tidak berbayar (NPL) dicatatkan 2.2 peratus.

“Dengan wujudnya penampan yang besar itu, sektor kewangan kekal berdaya tahan,” katanya.

Bagaimana pun, aplikasi keseluruhan bagi pembiayaan baru di dalam suku tahun pertama 2009 telah merosot 3.5 peratus.

Ini kemungkinan antaranya disebabkan aplikasi lebih rendah dari perniagaan yang boleh menyebabkan pengecilan dan melewatkan pelaburan besar-besaran dan pelaksanaan pelan pengembangan berikutan tinjauan yang lebih lemah, katanya.

Najib berkata kelulusan keseluruhan yang diberikan bagi pembiayaan baru juga menyederhana sedikit kepada RM58.9 bilion bagi tempoh tiga bulan manakala pengeluaran merosot 2.3 peratus kepada RM148.1 bilion.

“Bank kita perlu bekerjasama dengan kerajaan untuk mempromosikan pertumbuhan ekonomi dan menyokong sektor swasta sebagai enjin utama pertumbuhan,” katanya.

Semasa tempoh yang mencabar ini, Najib berharap pinjaman kepada perusahaan kecil dan sederhana tidak disekat dan perkhidmatan perbankan luar bandar perlu dipertingkatkan.

“Dengan berbuat demikian, rakyat di kawasan luar bandar boleh turut mendapat manfaat dan boleh mengakses mendapatkan kredit.”

Najib berkata komuniti perniagaan telah turut menyuarakan kebimbangan dengan kecepatan meluluskan pinjaman mengikut masa dan keefisinen bekalan perkhidmatan perbankan.

“Bank telah bertukar menjadi terlalu berhati-hati sekarang ini,” katanya, sambil menyatakan bahawa ini telah menyebabkan kelewatan di dalam proses kelulusan apabila lebih banyak langkah yang tidak perlu diperlukan untuk mendapatkan lebih banyak maklumat.

“Langkah memberi kelulusan yang perlahan memberi impak yang ketara kepada aktiviti ekonomi. Saya dengan ini berharap bank akan mempercepatkan pengeluaran kelulusan agar tidak menyekat pemulihan ekonomi.”

— BERNAMA

Sumber : Bernama

Leave a Reply