News_archive

Jangan gentar lakukan transformasi

By Sunday June 19th, 2011 No Comments

PUTRAJAYA 19 Jun – Dunia memerlukan pemimpin yang sanggup melakukan transformasi, tidak gentar berdepan dengan cabaran dan lebih penting lagi bersedia mengambil risiko menghadapi realiti dan cabaran baharu global.

Berkongsi ingatan itu dengan para pemimpin Afrika dan Caribbean dalam ucaptama merasmikan Dialog Antarabangsa Langkawi 2011 (LID 2011) di sini hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, ciri-ciri itu merupakan harapan rakyat yang perlu dipenuhi oleh seseorang pemimpin.

“Saya tahu transformasi dan perubahan tidak akan datang bergolek, ia merupakan sifat semula jadi orang untuk menolak perubahan dan berpegang kepada benda yang mereka sudah biasa.

‘‘Dan sesetengah orang takut keadaan tidak tentu yang dibawa oleh perubahan dan ada pula yang berasa terancam kerana perlu melakukan kerja dengan cara yang berlainan.

‘‘Bagaimanapun pemimpin sebenar mesti menyelesaikan isu-isu dan halangan ini untuk membolehkan perubahan mengambil tempat,” katanya.

LID 2011 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dihadiri ketua-ketua kerajaan, negara serta menteri dan pegawai daripada 15 negara Afrika dan Caribbean.

Hadir sama isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Dialog tahun ini dihadiri oleh pemimpin-pemimpin Afrika seperti Presiden Zimbabwe Robert Mugabe; Perdana Menteri Lesotho, Pakalitha Bethuel Mosisili; Perdana Menteri Swaziland, Barnabas Sibusiso; Naib Presiden Uganda, Edward Sekandi dan Naib Presiden Kenya, Stephen Kalonzo.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga pengasas LID pada 1995 bersama isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali serta seorang lagi bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, selain Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan anggota Kabinet lain.

Perdana Menteri berkata, tadbir urus dan amalan yang baik merupakan syarat terpenting untuk pertumbuhan ekonomi dan transformasi.

“Nilai-nilai seperti ketelusan, kebertangungjawaban dan integriti adalah amat penting untuk pembinaan bangsa,” katanya.

Menurut Najib, perubahan realiti dan cabaran dunia yang mengambil tempat ketika ini meletakkan dunia dalam era transformasi.

Era tersebut, tegas beliau, telah dicorak oleh enam faktor berikut:

* Impak ekonomi-ekonomi membangun di mana mereka memainkan peranan yang lebih berpengaruh dalam hal ehwal global.

* Impak iklim politik yang tidak menentu di sesetengah tempat di dunia.

* Impak malapetaka semula jadi.

* Peranan yang lebih ketara di kalangan kerajaan, sektor swasta, masyarakat sivil, akademia dan pertubuhan antara kerajaan.

* Kesan perubahan cuaca.

* Revolusi Internet.

Menurut Perdana Menteri, revolusi media sosial telah membawa tahap kesedaran yang lebih tinggi dan meningkatkan harapan orang ramai.

‘‘Ia turut mewujudkan standard kebertanggungjawaban yang lebih tinggi terhadap kerajaan global,” katanya.

Sumber : Utusan

Leave a Reply