News_archive

Jangan berpuak – Najib

By Saturday October 11th, 2008 No Comments

ALOR STAR 10 Okt. – Datuk Seri Najib Tun Razak mahu ahli-ahli dan pemimpin UMNO bersaing dalam pemilihan parti itu dengan semangat untuk mengukuhkan UMNO dan kembali bertaut apabila pemilihan berakhir.

Dalam UMNO, tegas Timbalan Presiden UMNO, para pemimpin yang memenangi jawatan dalam pemilihan tidak sesekali meminggirkan pencabar mereka, sebaliknya bergabung bersama untuk membina semula kekuatan parti.

“Yang menang jangan buang yang kalah. Angkat, bawa dan kelek mereka supaya parti kita kuat dan mencapai kejayaan.

“Kita sebut tidak ada puak dalam parti. Saya akan amalkan (dasar) tidak ada puak dalam UMNO. Tidak kira dia orang siapa, yang penting kita semua orang UMNO,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan dan Pemimpin-Pemimpin UMNO Negeri Kedah di sebuah hotel di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd. Johari Baharom.

Najib yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, dalam menyatakan sokongan kepada pemimpin masing-masing, ahli-ahli UMNO jangan sesekali mengkhianati parti atau orang lain.

Menurut beliau, mereka yang berbuat demikian akan menerima kesan daripada perbuatan tersebut.

“Saya cukup pantang kalau orang khianat. Kalau kita hendak sokong pemimpin, sokonglah tapi jangan khianat kerana kalau dia khianat parti atau orang lain, dia akan terima kesannya,” tegas beliau.

Source : Utusan Malaysia

Leave a Reply