News_archive

Jaga Kebajikan Pekerja Industri Untuk Tingkatkan Produktiviti – Najib

By Sabtu Januari 7th, 2012 No Comments

SHAH ALAM, 7 Jan (Bernama) — Majikan sektor industri perlu menjaga kebajikan pekerja kerana ia akan meningkatkan produktiviti pekerja untuk membolehkan syarikat mencatat keuntungan dan memberi gaji yang lebih baik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Tolong jaga kebajikan para pekerja,” katanya ketika membuat gesaan itu kepada Ketua-ketua Pegawai Eksekutif dan wakil-wakil syarikat yang hadir pada Program Perdana Menteri Bertemu Warga Industri Selangor di Kilang Proton Holdings Bhd di Seksyen 26 di sini Sabtu.

Najib memberikan contoh bagaimana keuntungan Sime Darby Plantation meningkat selepas beliau membuat keputusan menaikkan gaji pekerja ladang syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu sebanyak RM300 supaya pendapatan mereka melangkaui garis kemiskinan.

“Pengurusan Sime Darby melaporkan balik kepada saya hasil Sime Darby meningkat kerana keputusan itu. Kerana apa? Kerana kalau dulu pekerja ponteng kerja, absentism tinggi, sekarang orang tak ponteng kerja sebab dia tahu dapat ganjaran lebih.

“Keuntungan Sime Darby bertambah, kebajikan pekerja terpelihara inilah dasar kerajaan yang ada pada hari ini,” katanya pada majlis yang dihadiri lebih 30,000 warga industri itu.

Najib berkata golongan pekerja juga perlu bersungguh-sungguh untuk meningkatkan produktiviti bagi membantu syarikat merekodkan keuntungan.

“Tapi dengan syarat pekerja mesti bekerja, mesti ada produktiviti, betul tak? Kalau produktiviti naik, gaji akan naik, betul tak? Kalau produktiviti naik, syarikat untung, bonus pun kita boleh bagi,” katanya.

Najib berkata banyak lagi yang akan dibuat untuk warga pekerja selagi kerajaan Barisan Nasional diberi mandat memerintah negara.

“Banyak lagi faedah kita akan berikan, kita tahu mentadbir negara. Kami mempunyai pengalaman, anda boleh mempercayai kami kerana kami berpengalaman mentadbir negara ini,” katanya.

Najib berkata kejayaan sektor industri di Malaysia terletak kepada tiga faktor iaitu pengurusan yang cekap dan berwibawa, warga kerja yang produktif dan kerajaan berpengalaman dalam pentadbiran yang memberi sokongan dan bantuan supaya sektor industri berjaya.

“Cuba bayangkan kalau kita ada kerajaan yang bukan menyokong tetapi menyusahkan. Kalau kita ada kerajaan yang buat dasar tidak tepat.

“Kita suruh bantu Proton nanti dia bagi lesen kepada orang lain. Jika itu berlaku Proton akan tutup dan jatuh tersungkur, ‘mengkarak’ dalam loghat Pahang bermakna jatuh sehingga misai mencecah bumi dan warga Proton tidak akan ada pekerjaan,” katanya.

Perdana Menteri berkata kewujudan Proton merupakan pemangkin transformasi minda rakyat negara ini di mana sebelum kemerdekaan ada yang mempertikaikan kemampuan Tanah Melayu pada masa itu untuk merdeka kerana masih tidak mampu membuat jarum tetapi pada hari ini rakyat Malaysia sudah boleh membina kereta sendiri.

Najib berkata beliau telah melihat sendiri model-model terbaru yang dibangunkan Proton yang akan menjadi simbol transformasi kepada pengeluar kereta negara itu.

Proton sedang membangunkan teknologi baru kenderaan menggunakan elektrik termasuk bas dan lori yang berpotensi untuk dipasarkan di peringkat dunia jika ujian-ujian yang dijalankan ke atas model-model baru yang dibangunkannya itu berjaya, katanya. Najib berharap warga industri akan menyokong program transformasi kerajaan untuk membawa Malaysia muncul sebagai negara maju menjelang 2020 dan golongan pekerja akan menikmati lebih faedah hasil perjuangan kerajaan BN.

Katanya kerajaan BN membuat janji yang berpijak di atas bumi yang nyata tetapi mereka yang tidak berpengalaman dalam mentadbir negara boleh menjanjikan bermacam-macam, bulan, bintang dan cakarewala kerana masih belum berkuasa.

Najib berkata kerajaan masih boleh meneruskan bantuan subsidi ke atas barangan keperluan asas seperti tepung, bahan api, memberi bantuan awal persekolahan RM100 kepada setiap pelajar dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) berjumlah RM500 seorang kerana berkemampuan walaupun negara masih lagi dalam defisit.

Beliau berkata defisit negara menurun tahun lepas kerana peningkatan kecekapan Lembaga Hasil Dalam Negeri yang kutipannya meningkat sebanyak RM22 bilion pada tahun 2010.

Najib berkata mereka yang mendakwa kerajaan terpaksa meminjam Bank Dunia untuk memberi bantuan BR1M adalah satu bidaah kerana kerajaan mampu memberikan bantuan itu berikutan peningkatan kutipan hasil cukai.

“Defisit ini defisit menurun maknanya saya tak gadai negara semata-mata nak jadi populis. Tidak! Saya tak buat itu sebab saya tahu tanggungjawab kita bukan sehari dua ini, tanggungjawab kita adalah mampan dan berterusan sebab kita nak jadi negara maju, InsyaAllah pada 2020,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply