News_archive

Isu Spratly Boleh Diselesai Secara Rundingan: Najib

By Wednesday May 13th, 2009 No Comments

PUTRAJAYA, 14 Mei (Bernama) — Tuntutan bertindih terhadap Kepulauan Spratly di Laut China Selatan boleh diselesaikan menerusi rundingan dan ia tidak perlu dijadikan isu yang boleh menimbulkan ketegangan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kita ada proses mekanisme untuk menyelesaikan soal tuntutan seumpama ini. Ada prinsip daripada segi undang-undang antarabangsa dan ada mekanisme untuk merundingkan kawasan yang bertindih,” kata Perdana Menteri kepada pemberita di sini, Khamis.

Beliau diminta mengulas mengenai amaran kerajaan China agar negara-negara jiran menjauhi kepulauan itu selain mengingatkan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bahawa “kedaulatan” republik itu terhadap Spratly tidak boleh dipertikaikan.

Isnin lalu, jurucakap Kementerian Luar China, Ma Zhaoxu berkata kerajaannya telah memberitahu PBB bahawa China tidak akan bertolak ansur jika ada negara lain menuntut kepulauan itu.

Kepulauan Spratly yang kaya dengan sumber minyak dan gas serta kedudukannya yang strategik dituntut seluruh atau sebahagian oleh China, Malaysia, Taiwan, Vietnam, Filipina dan Brunei Darussalam.

Najib berkata penyelesaian masalah secara rundingan mengikut prosedur tertentu boleh mencegah kejadian yang tidak diingini daripada berlaku.

“Saya percaya kalau kita pegang kepada prosedur yang sedia ada untuk selesaikan sebarang tuntutan bertindih, kita boleh mengelak daripada masalah yang terlalu berat atau yang terlalu kusut,” katanya.

— BERNAMA

Sumber : Bernama

Leave a Reply