News_archive

Isu Royalti Tidak Boleh Dilihat Secara Berasingan – Najib

By Thursday February 16th, 2012 No Comments

SIPITANG, 16 Feb (Bernama) — Sambil menegaskan bahawa isu royalti minyak tidak boleh dilihat secara berasingan, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis menyifatkan janji pemimpin pembangkang untuk meningkatkan royalti minyak sehingga 50 peratus bagi Sabah sebagai gimik pilihan raya umum akan datang.

Perdana Menteri berkata kadar royalti perlu dilihat dalam konteks jumlah hasil kerajaan dan dalam soal peratusan peruntukan belanjawan bagi Sabah dan juga negeri-negeri lain.

“Jika kamu ambil 20 peratus atau 50 peratus untuk royalti, ia bermakna bahawa peruntukan bagi kementerian-kementerian untuk Sabah akan dikurangkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah projek Sabah Ammonia Urea (SAMUR) bagi Petronas Chemical Group Berhad’s (PCG) bernilai RM4.5bilion di sini.

Najib berada di Sabah untuk lawatan kerja dua hari.

Pemimpin pembangkang termasuk Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata beliau akan menaikkan royalti minyak Sabah daripada lima kepada 20 peratus malah Datuk Dr Jeffrey Kitingan pula menjanjikan 50 peratus.

Najib menarik perhatian wakil media kepada janji pembangkang yang lain seperti mengurangkan harga bahan api, melupuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan menghapuskan tol.

“Dari mana mereka akan mendapat hasil untuk mentadbir negara? Kamu tidak boleh menjanjikan sesuatu secara berasingan, kamu perlu mengambil kira kesemuanya dalam konteks menyeluruh,” katanya.

Najib berkata kerajaan Barisan Nasional akan menyediakan peruntukan yang mencukupi bagi pembangunan Sabah di bawah pelbagai skim pembangunan dan transformasi.

Sumber : Bernama

Leave a Reply