Speeches

Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan

By Saturday June 1st, 2013 No Comments

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

1.      Alhamdullilah, syukur ke hadrat Allah SWT atas limpah taufik dan inayahNya. Ucapan selawat dan salam ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad SAW .

Ampun Tuanku,

2.      Menghadap, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Almu’tasimu Billahi Muhibbudin Tuanku Al-Haj Abdul Halim Muadzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah. Menghadap, Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah.

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik mohon di ampun.

3.      Pertamanya, Patik dengan penuh takzimnya bagi pihak kerajaan, para penjawat awam serta seluruh rakyat menjunjung sembah tahniah kepada Tuanku sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan Rasmi, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Patik sekalian berdoa semoga Tuanku berserta Tuanku Raja Permaisuri Agong terus berada dalam kerahmatan Allah SWT, kekal bersemayam di atas takhta Kerajaan Persekutuan dengan segala kemuliaan.

4.      Sesungguhnya, Kerajaan dan rakyat berasa amat bersyukur justeru sepanjang pemerintahan Tuanku, Negara kita yang tercinta ini terus berada dalam peliharaan Allah SWT, aman lagi sejahtera.

5.      Sistem Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen yang telah menjadi amalan di Malaysia menyaksikan peranan institusi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong terus kukuh sebagai lambang keutuhan, payung Negara serta pohon rendang tempat rakyat berteduh dan bernaung.

Ampun Tuanku,

6.      Alhamdulillah, suka patik melaporkan kepada Tuanku bahawa buat kali ke-13 semenjak kemerdekaan kita telah pun berjaya menyelesaikan secara aman dan tertib pilihan raya umum bagi memilih wakil-wakil rakyat dan seterusnya membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan dan di dua belas daripada tiga belas buah negeri-negeri di Malaysia mengikut lunas-lunas yang telah digariskan Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang negara.

7.      Patik ingin menjunjung kasih di atas perkenaan kepercayaan Tuanku melantik Patik selaku Perdana Menteri Malaysia selaras dengan mandat yang telah diberikan rakyat di bawah sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. Amanah ini akan patik dan rakan-rakan jemaah menteri serta anggota pentadbiran lainnya lunaskan dengan penuh keinsafan bagi membawa rakyat dan negara ke arah kemakmuran dan kesejahteraan dengan bimbingan Tuanku dan izin Allah SWT jua.

8.      Walaupun pilihan raya umum ke-13 telah berjalan dengan lancar dan baik, namun pihak kerajaan akan memberikan kerjasama yang sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya bagi menambah baik wibawa perjalanan pilihan raya di Malaysia. Janganlah kerana kepentingan diri serta kelompok, ada pihak cuba merosakkan kebolehpercayaan institusi ini dengan melempar pelbagai persepsi liar. Hakikatnya, Suruhanjaya Pilihan Raya bukanlah sebuah Agensi mahupun Jabatan Kerajaan, sebaliknya ia merupakan sebuah mekanisme yang ditubuhkan berasaskan peruntukan undang-undang tertinggi negara, iaitu Perlembagaan Persekutuan dan ahli-ahlinya mendapat perlindungan jawatan yang sama dengan para Hakim Mahkamah Persekutuan.

9.      Namun demikian, untuk perkukuhkan lagi kewibawaan dan kredibiliti SPR, kerajaan Tuanku memutuskan untuk memindahkan kawal selia dan fungsi SPR kepada satu jawatankuasa khas yang diwakili ahli-ahli Parlimen daripada semua parti politik sama ada kerajaan atau pembangkang. Dengan langkah ini, diharap kebebasan SPR tidak dipersoal lagi dan keyakinan rakyat terhadap SPR akan dapat diperkukuhkan.

Ampun Tuanku,

10.     Selesainya proses pilihan raya bermakna penerusan kembali proses pelayaran bahtera negara untuk tempoh lima tahun yang akan datang menuju matlamat wawasan kebangsaan. Dalam tempoh tersebut kita akan menamatkan Rancangan Malaysia ke-10 dan memulakan Rancangan Malaysia ke-11. RMK-11 merupakan rancangan pembangunan lima tahun terakhir sebelum tercapainya Wawasan 2020 yang akan menyaksikan Malaysia dengan izin Allah SWT, akan menyertai kelab negara berpendapatan tinggi dunia.

11.     Marilah kita memanjatkan kesyukuran kepadaNya bahawa Malaysia semenjak pembentukannya hampir lima puluh tahun yang lalu dengan segala cabaran yang sedia wujud mahupun mendatang telah berjaya secara bertatih membangun menjadi sebuah negara yang boleh dibanggakan semua. Malaysia bukannya sebuah negara yang gagal, sebaliknya Malaysia ialah sebuah negara yang berjaya sama ada dari segi pembangunan ekonomi, keadilan sosial, pengurusan sumber asli, urbanisasi, pengurusan perhubungan antara kaum mahupun amalan demokrasi.

12.     Ya, banyak faktor yang memisahkan kita. Daripada faktor yang paling kecil kepada faktor yang menggunung cabarannya. Bukan sahaja perbezaan ras, kepercayaan, kebudayaan, bahasa, status sosioekonomi, malahan pemisahan geografi, di mana secara fizikalnya Malaysia dipisahkan oleh Laut Cina Selatan. Namun, sejarah telah menyaksikan kita telah berjaya menukar setiap halangan dan perbezaan menjadi sumber kekuatan nasional. Setiap cabaran hanya menjadikan kita semakin kuat sebagai sebuah negara bukannya semakin lemah.

Ampun Tuanku,

13.     Patik dan rakan-rakan akan terus mempertahan, melindungi dan memelihara prinsip keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang, meraikan kepelbagaian, mengamalkan sikap inklusif dan mendahulukan rakyat jelata di dalam mengurus ehwal negara di bawah lembayung nama Tuanku.

14.     Kerajaan Tuanku komited untuk mencipta masa depan yang lebih baik untuk setiap individu rakyat Malaysia. Kami impikan sebuah Malaysia di mana semua kaum dan penganut pelbagai kepercayaan mampu hidup secara aman dan harmoni tanpa sebarang syak wasangka. Sebuah Malaysia yang maju serta makmur, bumi yang mencukupi untuk semua.

15.     Kerajaan Tuanku menyedari bahawa hari ini akibat polemik nasional yang bersandarkan kepercayaan, ras, pegangan politik, demografik bandar, luar bandar dan kelas, ia telah menyebabkan keretakan pertautan nasional dan timbulnya rasa terpinggir di kalangan sesetengah rakyat Malaysia.

16.     Kerajaan Tuanku komited untuk menangani cabaran ini. Kerajaan Tuanku akan merangka pelan terbaik untuk mengukuhkan lagi perpaduan serta membaik pulih persefahaman nasional. Usaha pengukuhan perpaduan kebangsaan dan proses membaik pulih persefahaman nasional memerlukan kerjasama semua pihak. Ia harus diasaskan kepada dialog membina di semua peringkat. Ia harus menjadi agenda semua pihak bagi mencapai kejayaan serta membuahkan hasil.

17.     Patik dan rakan-rakan akur bahawa kami memikul amanah serta bertanggungjawab kepada semua rakyat Malaysia sama ada yang menyokong kami mahupun tidak. Kerajaan Tuanku ialah Kerajaan yang menjadi payung kepada setiap rakyat Malaysia.  Sesungguhnya amat mudah untuk mengambil jalan menidakkan dan menyalah, namun ia tidak akan menyelesaikan sebarang masalah mahupun membantu merungkaikan segala cabaran yang dihadapi Malaysia.

18.     Kerajaan Tuanku ingin menyeru kepada pertimbangan rakyat Malaysia bagi melihat kepada faktor-faktor kebersamaan yang mampu mempersatukan kita daripada melihat kepada titik-titik yang akan terus membuatkan kita terperangkap dengan nostalgia serta realiti lalu.

19.     Inilah realiti baru masyarakat Malaysia. Realiti sebuah masyarakat dan negara di dalam transisi daripada sebuah negara perindustrian berpendapatan sederhana tinggi kepada sebuah negara maju berpendapatan tinggi. Ia sesungguhnya masalah mengurus kejayaan bukannya menanggung kegagalan.

Ampun Tuanku,

20.     Dalam bergerak ke hadapan untuk tempoh lima tahun akan datang di samping meningkat giatkan lagi pelaksanaan Dasar Transformasi Nasional ke arah memastikan pertumbuhan ekonomi negara terus mapan, inflasi dan kos kehidupan menurun, kadar pengangguran yang rendah, kadar jenayah yang terkawal, akses kepada pendidikan berkualiti yang saksama,  jurang sama ada jurang prasarana mahupun pendapatan antara warga bandar dan luar bandar yang semakin mengecil, kadar pelaburan terus asing dan domestik yang sihat serta daya saing nasional yang terus meningkat, kerajaan Tuanku juga akan memberikan tumpuan kepada beberapa prakarsa utama yang lebih diupayakan.

21.     Di antara bidang tumpuan baru kerajaan ialah meningkatkan kualiti tadbir urus dan integriti merentas semua segmen. Kerajaan Tuanku juga akan memperhebatkan usaha memerangi gejala rasuah dan salah guna kuasa. Batu asas yang kukuh telah diletakkan dalam usaha ini dengan pelantikan Datuk Paul Low, mantan presiden Transparency International Malaysia sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap soal Tadbir Urus dan Integriti.

22.     Bagi membuktikan keseriusan iltizam pihak Kerajaan dalam menangani isu tadbir urus, integriti dan rasuah ini, kerajaan telah pun merangka sebuah pelan integriti yang bersifat merentas batas dan menyeluruh. Butiran mengenai pelaksanaan khusus pelan ini akan saya umumkan dalam masa terdekat.

23.     Kerajaan Tuanku tidak akan berdikit dalam komitmen yang telah dinyatakan. Rakyat Tuanku telah pun bersuara dan menyatakan keutamaan yang sepatutnya diperjuangkan oleh Kerajaan Tuanku. Menjadi tugas dan tanggungjawab kami untuk menunaikan amanah tersebut dengan cara yang terbaik.

24.     Semua matlamat mulia yang didambakan ini, semua rancangan yang telah dirangka tidak akan berjaya tanpa sokongan semua rakyat Malaysia. Ia tidak harus hanya menjadi agenda Kerajaan Tuanku tetapi juga wajib menjadi misi semua pihak. Marilah kita bersama-sama melakar masa depan yang baru dan lebih baik untuk kita dan anak-anak kita.

Ampun Tuanku,

25.     Akhir kata Patik dan rakyat jelata mendoakan semoga Allah SWT terus memelihara Tuanku serta Raja Permaisuri Agong dalam keadaan sihat walafiat bersemayam di atas takhta Persekutuan dengan sepenuh kemuliaanNya.

Sekian. Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Ampun Tuanku.

Leave a Reply