BlogFeatured Articles

Islam di bawah Kerajaan Barisan Nasional

By Saturday April 8th, 2017 No Comments

Banyak yang telah diperkatakan kebelakangan ini berkenaan kedudukan Islam di Malaysia dan bagi saya, kerajaan pimpinan Barisan Nasional akan terus komited dalam mendukung Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan yang menyebut bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.

Kalau diselami dan dilihat secara menyeluruh, banyak yang telah dilakukan oleh kerajaan untuk memastikan Islam terus berkembang dan kebajikan umatnya di Malaysia terus dipelihara.

Sebagai contoh, dalam Bajet 2017, saya telah mengumumkan peruntukan RM50 juta kepada Sekolah Agama Bantuan Kerajaan dan RM50 juta kepada Sekolah Pondok yang berdaftar.

Buat julung kalinya juga, kerajaan juga memperuntukkan RM30 juta bagi menyelaraskan pendidikan tahfiz melalui Dasar Tahfiz Negara. Langkah ini penting dalam menentukan hala tuju negara ke arah memastikan institusi pendidikan tahfiz Al-Quran terus subur dan berkembang.

Kerajaan juga sedar bahawa pendidikan Al-Quran dan tahfiz Al-Quran adalah ramuan signifikan dalam memelihara Islam, lebih-lebih lagi dalam memberi penyediaan kepada golongan cendiakawan Islam untuk menolak tohmahan dan fitnah golongan ekstremis terhadap Islam. Ini juga adalah salah satu cara kerajaan untuk memastikan fahaman ekstremis tidak menular di Malaysia.

Ini sejajar dengan visi saya untuk membina sumber tenaga manusia yang holistik, bukan sahaja berkebolehan dari segi akademik tetapi berkeupayaan dalam pelbagai aspek termasuk ketakwaan dan jati diri sebagaimana yang dituntut oleh Islam.

Selain itu, kebajikan imam, bilal dan siak turut dipelihara di mana sebanyak 15,000 imam di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di seluruh negara telah menerima kenaikan elaun daripada RM750 kepada RM850 sebulan. 16,000 siak dan bilal turut menerima bantuan RM500 secara one-off manakala elaun guru kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) telah dinaikkan kepada RM900 daripada RM800 sebulan, sekaligus memanfaatkan hampir 33,000 orang guru. 

Insya-Allah, kebajikan mereka yang berkecimpung dalam bidang agama ini akan terus menjadi agenda utama kerajaan dalam memperkasakan agama Islam.

Saya juga berpuas hati dengan pengurusan haji untuk rakyat kita yang beragama Islam. Dalam memastikan rakyat kita berpeluang menunaikan Rukun Islam yang ke-5, kerajaan dianggarkan akan memberi subsidi sebanyak RM200 juta pada tahun ini berbanding tahun lepas, RM160 juta. Alhamdulillah, adanya hubungan baik kerajaan Malaysia dengan Kerajaan Arab Saudi, kuota jemaah haji buat negara kita juga telah ditambah kepada 30,200 orang.

Dari segi pentadbiran, pendekatan wasatiyyah yang diambil oleh kerajaan juga telah menarik minat banyak pihak dan menjadikan Malaysia sebuah negara Islam progresif di mata dunia. Kita telah mendapat banyak pengiktirafan antarabangsa dalam usaha kita memerangi keganasan, contohnya semasa lawatan saya ke India baru-baru ini, Perdana Menteri Modi telah menyatakan minat beliau dalam pelan de-radikalisasi Malaysia. Suara kita turut didengari apabila kita membantah kekejaman terhadap etnik Rohingya di Myanmar. Ulama-ulama terkenal seperti Mufti Menk juga menyokong usaha-usaha Malaysia dalam menyebarkan Islam yang berpaksikan kesederhanaan dan kasih sayang.

Ingin saya tekankan bahawa konsep wasatiyyah, keadilan sosial dan kesaksamaan akan terus menjadi pegangan saya selagi saya menjadi Perdana Menteri, termasuk dalam hal ehwal politik. 

Alhamdulillah, kerjasama umat Islam di Malaysia bagi memastikan kebajikan umat dan kesucian agama terus dipelihara semakin baik.

Dari segi pembangunan pula, tiada negeri yang ditinggalkan. Contohnya, dalam merangka projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), negeri Kelantan di bawah pentadbiran PAS akan turut menerima manfaat pembangunan di mana stesen terakhir akan terletak di Pengkalan Kubor, Tumpat.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menekankan bahawa perjalanan kita dalam memertabatkan Islam ini masih jauh dan masih banyak yang perlu dilakukan dalam memastikan Malaysia terus menjadi negara Islam yang moden dan progresif.

Sesungguhnya, ini bukanlah satu kerja yang mudah kerana kita adalah sebuah negara yang berbilang kaum dan berbilang agama, nescaya sensitiviti antara kaum haruslah diambil kira dalam penggubalan apa-apa polisi demi memelihara keamanan negara.

Insya-Allah, dengan berkat-Nya usaha kita untuk terus mendukung Islam akan terus dirahmati.

Leave a Reply