News_archive

Iskandar Malaysia Dapat 12 Pelaburan Strategik Baru Bernilai RM1.7 Bilion

By Sunday December 11th, 2011 No Comments

JOHOR BAHARU, 11 Dis (Bernama) — Iskandar Malaysia, yang setakat ini menerima komitmen pelaburan berjumlah RM77.8 bilion, meraih 12 pelaburan baru bernilai RM1.73 bilion.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang mengadakan lawatan sehari ke Iskandar Malaysia, menyaksikan pertukaran dokumen antara para pelabur berkenaan, yang diadakan semasa majlis sambutan ulangtahun kelima Iskandar Malaysia di Puteri Harbour, Nusajaya.

Pelaburan baru itu adalah antara Iskandar Investment Berhad (IIB) dengan Frost and Sullivan, serta Multimedia Development Corporation (MDEC) bagi penubuhan pusat bernilai RM100 juta, Frost and Sullivan Global Innovation Center di Medini.

IIB dan DHL juga bersetuju bagi penubuhan Pusat Kecemerlangan Rangkaian Bekalan Iskandar Malaysia DHL, bernilai RM0.5 juta dalam komitmen pelaburan.

University of Reading of Malaysia akan menubuhkan University of Reading Malaysia di Educity, Iskandar Malaysia dengan komitmen pelaburan sebanyak RM135 juta.

Pelaburan lain termasuk pemaju tempatan Ra Ta land Sdn Bhd bagi membangunkan projek menara pejabat berkembar 25 tingkat di Medini North, Iskandar Malaysia bernilai RM250 juta.

Johor Corporation (JCorp) juga memeterai perjanjian dengan tiga pelabur bagi memajak dan menjual tanah di Kompleks Perindustrian Tanjung Langsat (TLIC).

Perjanjian pertama adalah antara JCorp dan Evyap Sabun Malaysia Sdn Bhd bagi memajak kawasan seluas 55.74 ekar di TLIC bagi membina kilang oleo-kimia bersepadu dengan komitmen pelaburan sebanyak RM350 juta.

Perjanjian kedua melibatkan JCorp dan Kiswire Cord Sdn Bhd dengan komitmen pelaburan sebanyak RM300 juta untuk menjual tanah seluas 20 ekar di TLIC untuk membina kilang keluli.

Perjanjian ketiga bagi komitmen pelaburan sebanyak RM250 juta adaah antara Jcorp dan Mopuflex Sdn Bhd bagi pemajakan 14.7 ekar tanah di TLIC untuk menubuhkan E-House untuk industri minyak dan gas serta unit platform mudah alih untuk proses mendapatkan minyak maju.

Uiversiti Multimedia dan University of Southern California turut menandatangani perjanjian bagi penubuhan Program Seni Sinematik di Educity, Iskandar Malaysia.

Pelaburan lain adalah antara Universiti Multimedia dengan Iskandar Education Enterprise Sdn Bhd, UM Land dengan Seri Alam Properties Sdn Bhd dan Raffles Campus Pte Ltd bagi pembangunan sekolah antarabangsa, Plus Berhad dan Propel Berhad serta antara Iskandar Malaysia Studios Sdn Bhd dengan Universiti Teknologi Mara.

Sumber : Bernama

Leave a Reply