Intipati ucapan YAB Perdana Menteri di Sidang Kemuncak Ekonomi Negara. 1….

By Friday March 7th, 2014 No Comments

Intipati ucapan YAB Perdana Menteri di Sidang Kemuncak Ekonomi Negara.

1. Saya memahami tekanan serta kekhuatiran yang dialami rakyat oleh kerana kenaikan kos. Rakyat melihat harga yang meningkat tanpa memahami mengapa ia berlaku. Saya mengambil kesempatan ini untuk bercakap secara terus kepada rakyat.

2. Sejak kita mencapai kemerdekaan, pembangunan ekonomi telah memberi peluang pekerjaan serta prospek yang lebih baik kepada seluruh rakyat Malaysia.

3. Sejak 30 tahun kebelakangan ini, kadar kemiskinan telah menurun sebanyak 97%. Sejak tahun 1992, pendapatan isi rumah pula telah meningkat tiga kali ganda. Kita telah melalui perubahan yang amat ketara dalam aspek ini.

4. Namun begitu, bil subsidi kerajaan telah meningkat dari semasa ke semasa. Apabila harga pasaran dunia meningkat, kos untuk subsidi juga turut meningkat dengan mendadak sekali.

5. Pada tahun 2010, kita telah membelanjakan sejumlah 15% daripada bajet kita ke atas subsidi. Menjelang tahun 2012, perbelanjaan subsidi negara telah mencecah 21.4%- atau RM44 bilion.

6. Pada tahun 2009, defisit bajet kita adalah sebanyak 6%. Kos subsidi merupakan salah satu faktor yang mempengaruhi kadar defisit kita.

7. Bajet defisit tidak semestinya sesuatu perkara yang buruk. Malaysia telah berada dalam defisit sejak penghujung 1990-an dan fakta ini bukanlah satu penghalang untuk kita terus membangun.

8. Ada ketikanya hutang dan defisit mampu membahayakan negara. Kos pinjaman yang melonjak bakal menakutkan para pelabur. Jika ini terjadi, rakyat yang menderita.

9. Selaku Perdana Menteri, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk melindungi rakyat. Saya tidak akan membenarkan kemajuan negara, kesejahteraan rakyat dan kedaulatan negara terancam. Saya telah bertindak untuk menjaga kewangan negara agar sentiasa berada dalam keadaan terkawal.

10. Kita perlu menunjukkan yang kita mampu untuk mengambil keputusan yang sukar untuk mengurangkan hutang serta perbelanjaan; dan pada masa yang sama meningkatkan pendapatan kita.

11. Terdapat pelbagai barangan keperluan asas serta kemudahan yang akan dikecualikan dari GST- termasuklah beras, tepung, minyak, perkhidmatan bekalan air ke rumah serta pengangkutan awam.
12. Kita tidak mengambil keputusan untuk mengurangkan subsidi ataupun memperkenalkan GST tanpa kajian yang terperinci. Kita telah berfikir secara mendalam terhadap segala impak yang akan dialami rakyat teramai.

13. Kita merasakan bahawa langkah-langkah ini perlu diambil demi menjamin keutuhan masa depan, kebebasan dan pertumbuhan negara.

14. Kegagalan untuk bertindak bermakna kita telah mengabaikan aspek kebertanggungjawaban. Memang mudah untuk membuat janji-janji murah dan menawarkan kepada rakyat apa sahaja yang mereka mahu. Namun, kepimpinan bermaksud berupaya membuat keputusan yang tepat, bukannya keputusan yang mudah. Jika kita mengelak daripada melakukan keputusan sekarang, pembangunan kita akan terbengkalai. Saya bersedia untuk meletakkan kepentingan jangka panjang negara melangkaui populariti jangka pendek saya sendiri.

15. Kerajaan akan terus membantu rakyat Malaysia menangani kos sara hidup. Pada tahun ini, bayaran BR1M telah mencecah sehingga lebih 7 juta orang rakyat Malaysia, termasuklah buat pertama kali, kepada golongan yang berpendapatan RM 3,000 hingga RM4,000 sebulan. Kita turut membantu golongan isi rumah berpendapatan sederhana, dengan pengurangan cukai sebanyak 1% dan pengecualian cukai istimewa sebanyak RM2,000 kepada mereka yang berpendapatan RM8,000 sebulan.

16. Kita telah membuat keputusan untuk bertindak kerana kegagalan berbuat demikian bermakna kita tidak bertanggungjawab. Kita harus mula menyimpan hari ini agar kita akan teguh di kemudian hari. Bak kata pepatah, “Sediakan payung sebelum hujan”

17. Rasionalisasi subsidi merupakan sebahagian daripada rancangan jangka panjang yang dirangka dengan berhati-hati untuk menjadikan ekonomi kita lebih adil, kukuh dan stabil. Ini bermakna pelabur akan terus melabur dalam perniagaan di Malaysia dan mewujudkan peluang pekerjaan di Malaysia. Ini bermakna pembangunan pesat negara akan berterusan, dengan lebih banyak peluang untuk anak-anak kita serta peningkatan taraf hidup yang lebih baik untuk semua. Rancangan ini tampaknya berjaya.



Original post: https://www.facebook.com/157851205951/posts/10151924978460952/

Leave a Reply