News_archive

Insentif 15 Peratus Cukai Pendapatan Mampu Pikat Anak Sarawak Pulang Ke Tanah Air

By Thursday April 14th, 2011 No Comments

KUCHING, 14 April (Bernama) — Insentif 15 peratus cukai pendapatan bagi tempoh lima tahun untuk menarik kalangan profesional Malaysia yang bekerja di luar negara supaya kembali ke tanah air, adalah tepat pada masanya dan mampu memikat warga Sarawak untuk pulang berkhidmat di negeri yang berkembang pesat ini.

Penasihat Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (Sheda) Datuk William Wei berkata hasrat kerajaan persekutuan untuk menarik bakat tempatan di seberang laut itu adalah satu langkah yang baik dan membuktikan kerajaan serius dalam melakukan transformasi.

Warga Sarawak yang berkelayakan lebih suka bekerja di Semenanjung atau di luar negara disebabkan gaji yang lebih baik, bagaimanapun Malaysia boleh memikat atau mengekalkan bakat tempatan itu berikutan wawasan negara untuk menjadi sebuah negara maju menjelang 2020, katanya kepada Bernama.

Ketika mengumumkan perkara itu Selasa lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau berharap insentif cukai pendapatan peralihan yang baru itu akan menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia yang bekerja di seberang laut dengan pelbagai pengalaman dan kepakaran, untuk kembali dan memainkan peranan aktif dalam transformasi ekonomi negara.

Wei berkata langkah kerajaan persekutuan itu bukan sahaja dapat memikat bakat tempatan di luar negara agar kembali ke tanah air tetapi turut menggalakkan pelaburan domestik dan menjadi hab pekerja mahir yang akan berupaya mengembangkan bakat tempatan di kawasan luar bandar.

Pemerhati bisnes Anthony Tan berkata pengumuman itu lebih daripada sekadar insentif, malah sebagai tanda mengalu-alukan warga Malaysia untuk kembali ke tanah air, sambil menambah keikhlasan itu akan memikat mereka supaya pulang.

“Saya melanjutkan pelajaran di New Zealand dan seringkali ingin pulang ke tanah air. Saya tidak pernah menyimpan hasrat untuk tinggal sebagai penduduk tetap di negara itu. Saya percaya rakyat senegara saya ataupun anak Sarawak ingin pulang dan berkhidmat kepada negara. Kecuali ada alasan lain, saya tidak nampak kenapa kita mahu tinggal atau berada jauh dari tanah air,” katanya.

Tan berkata ini merupakan langkah positif yang tepat pada masanya kerana ia akan membawa pulang lebih ramai daripada mereka ekoran keadaan tidak stabil di seluruh dunia daripada segi pekerjaan, ekonomi dan politik dan keputusan untuk pulang ke tanah air akan membantu mereka menjalani hidup yang lebih baik.

“Saya bangga menjadi rakyat Malaysia dan anak Sarawak. Bukan hanya syarikat tempatan sahaja yang mencapai standard antarabangsa malah terdapat banyak juga individu yang kedudukannya setara dengan standard antarabangsa,” katanya.

Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Bersekutu Cina Sarawak, Sia Hiong Ngie berkata insentif itu mencerminkan keikhlasan kerajaan persekutuan dalam menarik bakat tempatan di seberang laut untuk pulang ke tanah air.

Beliau berkata anak Sarawak terutamanya generasi muda kini bekerja di Semenanjung dan luar negara di samping melanjutkan pelajaran di seberang laut dan membuat keputusan untuk tinggal di tempat berkenaan kerana memperoleh gaji yang lumayan.

“Insentif ini akan membantu memikat mereka kembali ke tanah air tetapi kerajaan persekutuan juga mesti memastikan persekitaran kerja yang kondusif, gaji yang bagus dan meletakkan mereka di kedudukan yang baik dengan upah yang berpatutan,” katanya.

Insentif peralihan cukai pendapatan yang baru itu akan menggalakkan lebih ramai warga Malaysia yang bekerja di luar negara, dengan pelbagai pengalaman dan kepakaran, supaya pulang ke tanah air dan menjalankan peranan aktif dalam program transformasi ekonomi Malaysia.

Sumber : Bernama

Leave a Reply