News_archive

Inisiatif Kerajaan Beri Hasil Positif Kepada Masyarakat India

By Wednesday April 18th, 2012 No Comments

KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) — Pelbagai inisiatif yang dilaksanakan kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat berbilang kaum telah membawa banyak hasil positif kepada masyarakat India di negara ini.

Inisiatif seperti Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA), Menu Rakyat IMalaysia (MR1M), Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Kedai Ikan Rakyat 1Malaysia (KIR1M) dan peruntukan untuk sekolah Tamil serta kuil Hindu mendapat sambutan yang amat baik daripada majoriti masyarakat itu.

“Ramai orang berkata usaha ini menyentuh hati orang India. Saya tidak tahu apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan kata-kata itu, tapi bagi saya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan Barisan Nasional (BN) memang mengambil berat kebajikan kaum India,” kata A. Vinodini Menon, 60, dari Johor Baharu.

Wanita dua anak ini berkata pada pandangannya, usaha kerajaan memberi perkhidmatan dan bantuan kepada rakyat, terutama golongan miskin daripada semua kaum, sudah mula menampakkan hasilnya dan ramai anggota masyarakat India mendapat manfaat daripadanya.

“Sebagai contoh, saya mendapat banyak manfaat daripada BR1M RM500 serta bantuan penjagaan kesihatan daripada hospital kerajaan dan Klinik 1Malaysia.

“Sebagai warga emas, saya gembira apabila melihat konsep 1Malaysia sedang diterjemahkan oleh Najib dalam begitu banyak bentuk yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat,” katanya.

Bagi pelajar jurusan kejuruteraan Universiti Malaysia Pahang P. Jasveena, 23, bantuan RM100 untuk membiayai perbelanjaan “kembali ke sekolah” yang diberi kepada setiap pelajar sekolah rendah dan menengah, di samping pendidikan percuma, adalah sesuatu yang tidak pernah diimpikan di kebanyakan negara lain.

“Kami di peringkat universiti mendapat baucer buku RM200 dan ini banyak membantu meringankan beban ibu bapa kami. Memang jelaslah, program ini dapat dilaksanakan berkat tadbir urus yang baik dan kecekapan pengurusan kewangan oleh kerajaan BN.

“Sebelum ini, sebahagian besar wang yang diterima daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terpaksa digunakan untuk membeli buku dan akhirnya saya kena meminta wang tambahan daripada ibu bapa, tapi sekarang, baucer yang diterima, banyak membantu,” katanya.

Jasveena juga gembira kerana baru-baru ini kerajaan meluluskan peruntukan tambahan RM340 juta untuk sekolah Tamil di seluruh negara dan katanya ini memberi mesej jelas kepada masyarakat India bahawa kebajikan mereka tidak diabaikan.

Sementara itu, penjawat awam S. Ramesh, 50-an, berkata transformasi yang dilaksanakan kerajaan telah meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan negara sekarang, lebih-lebih lagi apabila Najib menyuarakan harapannya agar masyarakat India mempunyai ‘nambikei’ (kepercayaan) terhadap beliau dan bekerjasama dengannya untuk mencipta masa depan yang lebih cerah untuk semua.

“Sebagai contoh, kenaikan gaji 13 peratus untuk kami merupakan bukti jelas tentang keikhlasan kerajaan dalam menghargai sumbangan penjawat awam terhadap negara serta ekonomi dan semua penjawat awam berketurunan India serta keluarga mereka sudah pasti amat mengalu-alukannya.

Program transformasi kerajaan juga mendapat maklum balas positif daripada pemandu teksi, yang sebelum ini bersungut kononnya kebajikan mereka diabaikan.

Antara manfaat yang disediakan kerajaan untuk mereka ialah pengecualian eksais dan cukai jualan 100 peratus bagi pembelian kenderaan keluaran tempatan untuk dijadikan teksi, pengecualian daripada bayaran duti eksais dan cukai jualan bagi teksi yang dijual atau dipindah milik selepas tujuh tahun dan penghapusan cukai jalan bagi semua teksi milik individu.

Pemandu teksi wanita K. Ambigawathy, 38, berkata kemudahan yang disediakan itu sungguh ‘mengagumkan’ dan meringankan kehidupannya hingga mampu memiliki teksi sendiri.

Jika diambil kira hasil kaji selidik Merdeka Center baru-baru ini bahawa kira-kira 80 peratus responden daripada kaum India menyokong penuh inisiatif yang dilaksanakan kerajaan, maka bukanlah sesuatu yang mengejutkan jika ia diterjemahkan sebagai undi untuk kerajaan BN pada pilihan raya umum akan datang.

Memetik kata-kata pemandu teksi yang hanya mahu dikenali sebagai Ramesh: “Pembangkang boleh menjanjikan kepada kami matahari dan bulan, tapi kerajaan pimpinan Najib yang ada sekaranglah benar-benar menjaga kebajikan semua rakyat Malaysia. Tiada janji yang lebih baik daripada sebuah negara Malaysia yang harmoni untuk semua orang, seperti yang kita nikmati sekarang.”

Sumber : Bernama

Leave a Reply