News_archive

Inisiatif Kawal Derma Politik Diperkenal: Najib

By Monday February 27th, 2012 No Comments

PUTRAJAYA, 27 Feb (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak berkata kerajaan akan memperkenalkan satu lagi inisiatif di bawah Pelan Transformasi Kerajaan bagi mengawal “pembiayaan politik” demi meningkatkan ketelusan dan keyakinan rakyat terhadap pertubuhan politik di negara ini.

Perdana Menteri berkata inisiatif itu memberi penekanan bahawa setiap sumbangan yang ingin diberikan kepada mana-mana parti politik, sama ada di peringkat pusat mahupun negeri, hendaklah disalurkan melalui akaun rasmi parti.

“Ini bagi mengelakkan ahli-ahli politik menyalahgunakan nama parti untuk meminta atau menerima apa-apa sumbangan yang kemudiannya diselewengkan untuk kepentingan persendirian,” katanya semasa berucap merasmikan Program Pegawai Integriti Bertauliah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini Isnin.

Najib berkata setiap sumbangan yang dihulurkan perlulah dikemukakan resit penerimaan dan dimasukkan ke dalam akaun parti.

“Menerusi rekod penerimaan yang teratur ia boleh diaudit pada tiap-tiap akhir tahun kewangan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan percaya inisiatif seumpama ini akan mengelakkan sebarang bentuk perbuatan rasuah dan penyelewengan di peringkat akar umbi manakala manfaat sumbangan itu dapat disampaikan kepada segenap peringkat parti dan seterusnya rakyat.

Perdana Menteri berkata usaha itu juga sebagai langkah proaktif demi meningkatkan ketelusan dan keyakinan rakyat terhadap pertubuhan-pertubuhan politik di negara ini.

“Bagi pihak kerajaan saya menganggap isu itu amat penting kerana jika tiada suatu dasar yang tepat, telus dan jelas mengenainya, maka ia boleh membuka ruang dan peluang kepada perlakuan rasuah,” katanya.

“Pembiayaan Politik” merupakan satu daripada saranan Jawatankuasa Mencegah Rasuah dan Lembaga Penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Berhubung langkah pengisytiharan harta pula, Najib berkata kerajaan menyahut seruan Lembaga Penasihat SPRM dan bersetuju agar Ketua Pesuruhjaya SPRM mempunyai akses penuh kepada dokumen-dokumen pengisytiharan harta mana-mana anggota pentadbiran.

Najib berakta bahawa kerajaan Barisan Nasional telah lama mengamalkan proses pengisytiharan harta itu, jauh lebih awal berbanding yang lain.

“Setiap anggota pentabiran diwajibkan mengisytiharkan harta diri dan keluarga terdekat kepada Perdana Menteri. Setiap tambahan harta atau pelupusan harta wajib diisytiharkan.

“Tambahan lagi kesemua pengisytiharan harta yang berkenaan dibuat secara berkanun,” katanya.

najib juga berkata bagi memastikan setiap undang-undang di negara ini telus dan mengambil kira pandangan pelbagai pihak sebelum ia dikuatkuasakan, kerajaan menerusi kementerian-kementerian bercadang memaparkan setiap draf rang undang-undang di laman web kementerian masing-masing.

Beliau berkata langkah itu bagi mendapatkan pandangan umum dan pihak yang terlibat sebelum ia dimuktamadkan.

“Ini akan menangkis persepsi umum dan antarabangsa kononnya terdapat undang-undang yang hanya mengambil kira kepentingan sesetengah pihak sahaja,” kata Perdana Menteri.

Sumber : Bernama

Leave a Reply