News_archive

Industri penerbangan perlu kerjasama

By Monday June 8th, 2009 No Comments

KUALA LUMPUR 8 Jun – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ketidakstabilan harga minyak, penguncupan ekonomi global dan bahaya penularan penyakit memerlukan industri penerbangan seluruh dunia bekerjasama lebih erat dengan kerajaan masing-masing.

Perdana Menteri berkata, sikap seumpama itu perlu untuk memastikan kelangsungan hidup industri itu dalam jangka masa panjang.

Katanya, industri penerbangan global pada masa ini sedang melalui tempoh yang sangat mencabar dalam sejarah kewujudannya dengan banyak syarikat penerbangan yang ‘lenyap’ akibat permasalahan kewangan dan ekonomi.

Beliau berkata, menyedari hakikat itu, kerajaan negara ini memperkukuhkan komitmen dalam memastikan industri penerbangan dapat meneruskan kelangsungan dan pada masa yang sama turut diperkukuhkan.

Katanya, pengalaman yang pernah dilalui memperlihatkan polisi yang tepat berserta ketangkasan memberi respons terhadap sesuatu perkembangan dapat membantu bukan sekadar melanjutkan usia industri penerbangan.

Tetapi, tambahnya, ia juga berkemampuan menjadikannya semakin makmur dalam iklim ekonomi yang buruk.

“Jelas sekali industri penerbangan terlalu penting untuk tidak mengalami kejatuhan, kerajaan Malaysia menyokong sepenuhnya industri penerbangan sebagai sektor utama perniagaan dan perdagangan,” katanya dalam ucaptama di Mesyuarat Agung Tahunan (IATA) Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa ke-65 di sini hari ini.

Mesyuarat berkenaan disertai pemain-pemain utama industri penerbangan sedunia.

Tambah Perdana Menteri, dalam usaha mengukuhkan industri penerbangan dalam jangka panjang, Malaysia memperlihatkan komitmen jitu bersama negara anggota ASEAN bagi mengkaji kemungkinan mewujudkan satu pasaran penerbangan tunggal seperti Kesatuan Eropah.

“Ini mungkin dilaksanakan dalam tempoh masa yang lama lagi tetapi ia tetap satu kemungkinan mengujakan,” katanya.

Kata beliau, pelan cadangan ASEAN ialah meliberalisasi sepenuhnya perkhidmatan udara di rantau ini menjelang 2015.

Malah, jelasnya, kesungguhan kerajaan membantu industri penerbangan terbukti apabila mengumumkan rebat 50 peratus yuran pendaratan pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai sebahagian pakej rangsangan bagi tempoh dua tahun mulai April lalu.

Ini dijangka memberi manfaat kepada syarikat penerbangan yang beroperasi ke Malaysia pada kos RM200 juta, katanya.

Najib juga menyeru industri itu melihat diri sendiri serta perkembangan dan perubahan yang perlu diambil sekarang bagi membuat persediaan menghadapi risiko dan ketidaktentuan masa depan, yang melangkaui peranan dimainkan kerajaan.

“Saya pasti kerajaan lain sedang mengambil langkah yang boleh memastikan industri itu meneruskan kelangsungan hidup semasa krisis ekonomi global sekarang ini dan meningkatkan daya tahan bagi masa depan,” katanya.

Tambahnya, industri pengangkutan udara dan kerajaan perlu bekerjasama mencari penyelesaian untuk membolehkannya terus maju.

“Oleh kerana cabaran dihadapi hari ini kemungkinan akan muncul semula, industri itu perlu mencari satu cara melindungi dirinya untuk menyerap kejutan masa depan tanpa merasai impak yang serius atau yang memusnahkan peserta industri penerbangan,” katanya.

Sumber : Utusan Malaysia

Leave a Reply