Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
Indonesia Sambut Baik Bekalan Elektrik Dari Bakun - Najib Razak
News_archive

Indonesia Sambut Baik Bekalan Elektrik Dari Bakun

By Wednesday April 22nd, 2009 No Comments

JAKARTA, 23 April (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Indonesia menyambut baik kemungkinan Malaysia dapat mengeksport bekalan elektrik dari projek elektrik hidro Bakun di Sarawak ke Kalimantan bagi memenuhi keperluan wilayah di negara jiran itu.

Perdana Menteri berkata Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono menyatakan reaksi itu pada perbincangan dua hala yang mereka adakan di Istana Merdeka, yang turut melibatkan sebahagian anggota Kabinet kedua-dua negara di sini Khamis.

Perbincangan dua hala itu diadakan sempena lawatan rasmi Najib yang pertama sebagai Perdana Menteri ke Indonesia, yang diangkat oleh Indonesia daripada status lawatan kerja menjadi lawatan rasmi.

“Saya telah menawarkan kemungkinan kita membantu keperluan tenaga bagi Kalimantan dan ini telah disambut baik oleh Presiden Susilo,” katanya pada sidang media dengan wartawan Malaysia di akhir lawatan rasmi dua hari itu.

Najib berkata menteri-menteri berkenaan di kedua-dua negara selepas ini akan berunding selanjutnya untuk memuktamadkan juga laluan kabel bawah laut Malaysia untuk tujuan menghantar elektrik dari Bakun ke Semenanjung Malaysia.

Perdana Menteri berkata kira-kira 70 peratus daripada kabel bekalan elektrik di bawah laut itu akan melalui kawasan Indonesia, merentasi perairan Kepulauan Natuna di Laut China Selatan.

Ketika menjawab soalan sama ada Malaysia akan menawarkan harga yang istimewa untuk bekalan ke Kalimantan, beliau berkata ia belum dibincangkan dan masih perlu dirunding oleh kedua-dua negara.

Menjelaskan mengenai projek elektrik hidro Bakun itu, Najib berkata Malaysia memutuskan untuk membangunkannya semula kerana ia penting bagi memenuhi keperluan bekalan elektrik negara khasnya di Semenanjung.

“Ini juga supaya kita dapat menentukan ‘energy mix’ kita dapat ditingkatkan komponen hidro yang boleh memberi pulangan yang lebih baik daripada gas yang akan pupus atau arang batu yang terpaksa diimport dari luar negara,” katanya.

Beliau berkata itu merupakan satu daripada bidang kerjasama baru yang disentuh dalam mesyuarat dua hala itu, iaitu memenuhi keperluan tenaga.

Najib berkata dalam mesyuarat dua hala yang merupakan kesinambungan daripada kata sepakat yang dicapai semasa pertemuan konsultasi tahunan 2009 antara bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Susilo, satu lagi bidang baru yang disentuh ialah kerjasama dalam bidang teknologi tinggi.

“Saya menegaskan bahawa kerjasama kita patut menjangkau dari bidang paling asas hinggalah ke bidang ‘hitech’. Kita bercita-cita hendak tingkatkan lagi nilai dalam ‘value chain’ kedua-dua negara dan dengan itu dapat saling membantu,” katanya, yang menambah bahawa Malaysia dan Indonesia mempunyai kepakaran dalam bidang ini.

Beliau memberi contoh, Malaysia mempunyai kepakaran dalam ‘MRO’ (penyelenggaraan, pembaikian dan rombak pulih) dalam bidang angkasa, kemampuan daripada segi pertahanan dan ICT.

“Jadi Indonesia patut melihat kemungkinan untuk mereka memberi peluang kepada Malaysia dalam bidang hitech,” katanya, yang menambah ia juga meliputi kemahiran memperbaiki kapal, membina kapal dan persenjataan ringan.

Perdana Menteri berkata Malaysia telah membeli beberapa pesawat pengangkut ringan yang dikeluarkan oleh Indonesia, dalam usaha ke arah kerjasama lebih luas dalam bidang teknologi tinggi.

Malam ini, Najib, yang disertai isteri Datin Seri Rosmah Mansor dan delegasi Malaysia diraikan pada jamuan malam rasmi oleh Susilo dan isteri, Ibu Ani Yudhoyono di Istana Merdeka sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur.

Sumber : Bernama

Leave a Reply