Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
Impak dan Kepentingan Lawatan Raja Salman ke Malaysia - Najib Razak
BlogFeatured Articles

Impak dan Kepentingan Lawatan Raja Salman ke Malaysia

By Thursday March 16th, 2017 No Comments

YAB Perdana Menteri menjawab pertanyaan YB Lenggong, Dato’ Shamsul Anuar bin Haji Nasarah, berkenaan impak dan kepentingan Lawatan Negara Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud, Raja Arab Saudi ke Malaysia baru-baru ini di Parlimen pada pagi tadi. Berikut adalah jawapan YAB Perdana Menteri. – Admin

SOALAN

Apakah impak dan kepentingan Lawatan Negara Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud, Raja Arab Saudi ke Malaysia baru-baru ini?

JAWAPAN

Tuan Yang Dipertua,

1. Sesungguhnya, lawatan Negara oleh Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud, selaku Raja Arab Saudi ke negara ini, telah memberi impak besar kepada Malaysia terutamanya dalam membina hubungan strategik yang lebih erat, hubungan ekonomi yang lebih bermanfaat dan hubungan ummah yang lebih bermakna.

2. Pada sudut segi ekonomi, sebanyak 7 MoU kerjasama antara pihak swasta Malaysia dan Arab Saudi telah berjaya dimeterai, yang melibatkan potensi perdagangan dan pelaburan rentas sempadan yang bernilai RM9.75 bilion. Perjanjian di antara syarikat-syarikat Malaysia dan Arab Saudi tersebut membabitkan pelbagai sektor seperti tenaga, kesihatan, pembinaan, pendidikan, industri kecil dan sederhana dan juga industri halal.

3. Kemuncak bagi lawatan tersebut adalah pelaburan ekuiti, yang membabitkan syarikat minyak bagi kedua-dua buah negara iaitu PETRONAS dengan Saudi Aramco, bagi penyertaan Saudi Aramco di dalam projek RAPID PETRONAS di Pengerang, Johor. Jumlah pelaburan sebanyak USD7 bilion atau RM31 bilion merupakan pelaburan terbesar yang pernah dibuat oleh sebuah syarikat Arab Saudi di Malaysia.

4. Pada lawatan ini juga, Raja Salman telah berkenan dan turut memberi sokongan penuh kepada penubuhan King Salman Centre for Global Peace. Bagi tujuan ini juga, kerjasama dalam bidang pertahanan terus diperkukuhkan, khususnya dalam usaha menentang keganasan dan ideologi ekstremisme agar fahaman tersebut tidak menular serta dapat dibendung di peringkat kedua-dua negara.

Tuan Yang Dipertua,

5. Selanjutnya, bersempena dengan lawatan Negara Baginda ke negara ini juga, isu tentang permohonan Kuota jumlah Jemaah Haji Malaysia turut dibincangkan.

6. Alhamdulillah, hasil daripada perbincangan saya dengan Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud ketika lawatan tersebut, Baginda telah berkenan untuk meningkatkan kadar kuota rasmi Haji Malaysia daripada 27,900 orang, meningkat kepada 30,200 orang jemaah.

7. Selain itu, Baginda juga akan mempertimbangkan secara mendalam permohonan Malaysia untuk menyewa tanah, bagi tujuan pembinaan kompleks penginapan untuk kemudahan Jemaah Haji Malaysia pada masa hadapan.

Tuan Yang Dipertua,

8. Selanjutnya, Kerajaan Malaysia menyambut baik komitmen Kerajaan Arab Saudi untuk meningkatkan jumlah pemberian biasiswa penuh kepada pelajar Malaysia bagi melanjutkan pengajian di negara itu pada tahun hadapan.

9. Sehubungan itu juga, Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Arab Saudi dalam bidang saintifik dan pendidikan yang telah dimeterai pada 27 Februari 2017 yang lalu, akan memperluaskan lagi kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi.

Tuan Yang Dipertua,

10. Jelas sekali, keberangkatan Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud, Penjaga Dua Masjid Suci, yakni Masjidil Haram dan Masjid An-Nabawi ke negara ini, menjadi detik yang amat bersejarah bahawa, Baginda berkeyakinan penuh terhadap kestabilan politik dan ekonomi Malaysia, sekaligus meletakkan hubungan dua hala Malaysia dan Arab Saudi pada kedudukan terbaik serta tahap yang tertinggi dan didoakan akan berkekalan sampai bila-bila. Insya-Allah.

Sekian, terima kasih.

Leave a Reply