News_archive

Idea Perdana Menteri Diterima Baik Oleh Banduan

By Thursday May 26th, 2011 No Comments

GEMAS, 26 Mei (Bernama) — Jika di penjara mereka dikenali sebagai banduan tetapi melalui Program Pemulihan Masyarakat yang dibuat dalam kem-kem tentera di seluruh negara, pesalah undang-undang ini digelar Orang Dalam Seliaan (ODS).

Di Kem Tentera Syed Sirajuddin, seramai 250 ODS sedang ditempatkan di kem yang sebenarnya mampu menampung seramai 400 pesalah undang-undang.

Idea penciptaan program itu tercetus daripada pemikiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menjadikan program itu sebahagian daripada rancangan Strategi Lautan Biru dan Program Transformasi Kerajaan (GTP).

Pada Sabtu ini, Perdana Menteri dijadual melawat kem pemulihan, yang terletak di kawasan seluas 22 hektar, dan dikendalikan bersama Jabatan Penjara dan Angkatan Tentera Malaysia.

Seramai 250 ODS yang tinggal dalam sel selesa di kem itu kini berpeluang menghirup udara segar melalui aktiviti pertanian dan perikanan yang dianjurkan dan dikawal selia oleh para pegawai kedua-dua agensi kerajaan itu. Ah Chong, 38, sudah 11 kali keluar masuk penjara akibat kesalahan dadah tetapi kali ini dia ditempatkan di bawah Program Pemulihan Masyarakat di Kem Syed Sirajuddin dan tekad untuk berubah.

“Saya sudah serik. Saya mahu hidup baru dan kali ini seorang Perdana Menteri sudah beri saya peluang. Saya tahu beliau akan datang Sabtu ini, saya mahu berjumpa beliau. Beliau sudah cipta satu model baru untuk kebaikan masyarakat,” katanya ketika ditemubual wartawan yang dibawa melawat pusat pemulihan di kem itu hari Khamis.

Ah Ching berkata dia ikhlas mahu mengucapkan terima kasih kepada Najib kerana sebagai seorang yang sudah banyak kali keluar masuk penjara, model pemulihan ini adalah yang terbaik kerana melibatkan pembentukan jati diri dan disiplin oleh instruktor Tentera Darat Malaysia.

Dahamar, 26, turut mahu mengambil peluang untuk berubah selepas terbabit dengan kes samun di Seremban pada pertengahan tahun lepas.

“Dahulu apa pun saya tidak tahu, saya tidak beribadat dan tidak tahu langsung tentang bidang pertanian dan perikanan. Kini saya diajar untuk berdikari, saya tahu tentang tanaman cili, saya tahu tentang membela ikan, menentukan harga serta mengasingkan ikan mengikut gred-grednya,” katanya.

Beliau tidak pernah berjumpa dengan tokoh besar seperti Najib dan berasa sangat teruja apabila seorang pemimpin sanggup datang untuk melawat ke tempat orang yang biasanya tidak mempunyai tempat di hati masyarakat kecuali anggota keluarga pesalah itu sendiri.

“Masyarakat buang kita tetapi seorang Perdana Menteri sanggup memikirkan idea untuk buat program macam ini. Meletakkan kita semua ada kegunaan. Saya mahu bertemu dan melihat wajah beliau,” katanya.

Pegawai Penjaga pusat itu iaitu Ketua Inspektor Penjara Amram Abdullah memberitahu pemberita, perbezaan di antara penjara dengan kem ini ialah penjara menumpu kepada hukuman serta pemulihan tetapi kem program ini dibuat khusus untuk pemulihan dan penyesuaian di antara orang kena selia dengan masyarakat luar.

“Nak kata mereka jahat tidaklah juga. Sesekali terjadi pergaduhan kecil tetapi orang di luar (masyarakat) kalau bergaduh sebenarnya lebih dahsyat,” katanya.

Kem ini dibuat secara terbuka untuk membolehkan ODS membiasakan diri dengan dunia luar melalui projek-projek pertanian dan perikanan, ini adalah satu program yang amat baik, katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply