News_archive

Idea, Cadangan Mungkin Digunakan Dalam Merumuskan Dasar Kerajaan – Najib

By Wednesday July 27th, 2011 No Comments

PUTRAJAYA, 27 Julai (Bernama) — Sesetengah idea dan cadangan yang dibangkitkan dalam dialog Meja Bulat Online 1Malaysia mungkin digunakan bagi merumuskan dasar-dasar kerajaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata idea-idea itu mungkin digabungkan dalam Belanjawan akan datang yang akan dibentangkan di Parlimen, Oktober ini.

Katanya dengan ini kerajaan akan dapat merasakan denyut nadi rakyat sebagai satu daripada manfaat dalam dialog meja bulat online.

“Harap dapat digunakan sesetengah idea-idea, cadangan dan maklum balas yang dapat (dikemukakan dalam forum online),” katanya dalam ucapan aluan pada dialog Meja Bulat Online 1 Malaysia yang pertama dengan para pakar pelbagai bidang di Pejabat Perdana Menteri, di sini.

Turut hadir dalam dialog itu ialah Pengerusi Yayasan 1Malaysia Dr Chandra Muzaffar, bekas pemain bola sepak Serbegeth Singh, personaliti televisyen Aznil Nawawi, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Datuk Dr Mahani Zainal Abidin dan personaliti televisyen Lisa Surihani.

Najib berkata dengan pembabitan personaliti yang disanjung tinggi, ia menyediakan peluang untuk mendapatkan penyertaan rakyat kerana perjalanan untuk mentransformasikan Malaysia memerlukan sokongan.

“Kita perlukan mereka untuk memahami dan menghargai apa yang amat bermakna kepada kami untuk mengubah Malaysia dan ia merupakan aspek penting bagi mendapatkan penyertaan rakyat Malaysia,” katanya.

Sementara itu, bercakap kepada pemberita, Najib berkata ia merupakan perbincangan yang sangat produktif dengan tokoh-tokoh ikon dan mereka telah memberi banyak cadangan untuk dipertimbangkan.

“Kita akan cuba respons dengan sewajarnya. Mereka juga mahu terlibat dalam proses seterusnya juga. Sebaik saya dapat cadangan mereka yang khusus, kita akan pertimbangkannya.

“Sebagai contoh, Shebby Singh telah memberikan laporan mengenai “Bagaimana Kita Boleh Menyemai Gaya Hidup Sihat di Peringkat Sekolah. Jadi, saya akan bawa kepada kementerian yang sepatutnya bagi pembangunan sukan.

“Dan mereka dari industri musik telah mengemukakan beberapa cadangan mengenai bagaimana para penghibur di negara ini tidak diberi ganjaran, hampir tidak mendapat ganjaran. Ini merupakan beberapa perkara yang perlu kita tangani,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply