News_archive

Hujan Tidak Halang Sambutan Meriah Untuk Najib Di Sipitang

By Thursday June 30th, 2011 No Comments

SIPITANG (Sabah), 30 Jun (Bernama) — Martina Sia, 46, dan Erni Thomas, 40, daripada suku kaum Lundayeh, bertolak seawal pukul 4 pagi dari pedalaman Long Pasia ke Sipitang, pekan pesisir pantai di selatan Sabah berhampiran sempadan Sarawak.

Mereka tiba di Sipitang pukul 7 pagi setelah menaiki kenderaan sewa pacuan empat roda untuk menyertai kira-kira 15,000 penduduk sekitar menyambut kedatangan pemimpin nombor satu negara, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Hujan renyai-renyai awal pagi juga tidak menghalang penduduk Sipitang membanjiri Padang Pekan Sipitang dan Esplenade Sipitang untuk bersama Perdana Menteri merasmikan Karnival Gasing dan Tamu Besar Sipitang kelima serta perasmian Espelanade Sipitang.

“Saya bertolak dari Long Mio di Long Pasia pada pukul 4 pagi tadi dan sampai di Pekan Sipitang pada pukul 7 pagi. Saya dan rakan-rakan sekampung menaiki kereta sewa dengan tambang RM35 sekepala.

“Saya amat berbangga dapat melihat Perdana Menteri,” kata Martina yang datang bersama anak remajanya yang turut menjadi antara 500 penerima komputer bimbit 1Malaysia pada majlis berkenaan.

Erni Thomas berkata dia bangga dapat bertemu dengan Perdana Menteri dan berharap suatu hari nanti Long Mio akan mendapat jalan raya yang baik di bawah kepimpinan Najib.

Rofina Taie, 43, dari Kampung Ranau-Ranau, pula berasa amat gembira kerana dapat bersalaman dengan Perdana Menteri meskipun terpaksa berebut-rebut dengan pengunjung lain yang mahu bersalaman dengan pemimpin nombor satu negara.

“Saya juga amat gembira kerana dapat merakam gambar Perdana Menteri dikerumuni penduduk Sipitang,” katanya.

Pemilik Gerai Sate Jamrut, Omar Jamrut, pula tidak akan melupakan peristiwa lawatan Najib kali ini kerana dia bukan sahaja berkesempatan bersalaman dengannya ketika Perdana Menteri itu lalu di hadapan gerainya tetapi juga kerana satenya turut dijamah Najib.

“Oh! Ini gerai Sate Jamrut,” sapa Najib kepada Omar.

Menurut Omar, gerainya turut mendapat tempahan 5,000 cucuk sate untuk hidangan tetamu kehormat dan rombongan Perdana Menteri.

“Dia puji gerai Persatuan Lun Bawang Sabah,” kata Panjang Purad, 55, anggota Persatuan Lun Bawang Sabah selepas Najib mengunjungi gerai persatuan itu di Padang Pekan Sipitang.

Sumber : Bernama

Leave a Reply