News_archive

Hubungan masuki fasa matang

By Thursday June 4th, 2009 No Comments

BEIJING 4 Jun – Presiden China, Hu Jintao hari ini berkata, hubungan dua hala China-Malaysia telah memasuki fasa yang lebih mendalam dan matang sejak kedua-dua negara mengadakan hubungan diplomatik 35 tahun lalu.

Dalam ucapan aluan ketika menerima kunjungan hormat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Great Hall of the People di Tiananmen Square di sini, Hu turut mengucapkan tahniah kepada Najib kerana mengadakan perbincangan dua hala dengan Perdana Menteri China, Wen Jiabao, terutama dengan termeterainya perjanjian Pelan Tindakan Bersama Mengenai Kerjasama Strategik Antara Malaysia dan China.

Hu menyifatkan lawatan Najib ke China sebagai berjaya.

Dalam ucapan balas, Najib mengucapkan terima kasih kepada kerajaan China di atas layanan mesra yang diberi kepada beliau dan anggota rombongan yang lain.

Beliau menegaskan bahawa beliau memilih China untuk melakukan lawatan pertama di luar ASEAN sejak menjadi Perdana Menteri pada 3 April lalu, sebagai membuktikan tentang kepentingan strategik hubungan Malaysia-China.

Sebagai tambahan, beliau berkata, sempena ulang tahun ke-35 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara, wujud pengertian simbolik yang besar dengan lawatannya ke China itu.

“Saya rasa simbolisme membawa makna yang besar kepada China dan Malaysia. Dan ia turut membawa makna yang besar kepada saya secara peribadi dan kepada keluarga saya,” kata Najib.

Ayahanda Najib, Tun Abdul Razak telah menandatangani pernyataan bersama dengan Perdana Menteri China, Zhou Enlai dalam memulakan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Dalam lawatannya ke China, Najib turut membawa bersama bonda beliau, Tun Rahah Mohamed Noah, isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor dan dua anaknya, Nooryana Najwa dan Nor Ashman.

Selepas mengunjungi Hu, Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan Naib Perdana Menteri Majlis Negara, Li Keqiang.

Pada malam ini, Najib menghadiri majlis makan malam Malam Persahabatan Malaysia-China untuk memperingati hubungan diplomatik 35 tahun antara kedua-dua negara.

Sumber : Utusan Malaysia

Leave a Reply