News_archive

Hubungan Malaysia-Afrika Selatan Perlu Suntikan Baru – Najib

By Monday January 9th, 2012 No Comments

BLOEMFONTEIN (Afrika Selatan), 9 Jan (Bernama) — Hubungan dua hala antara Malaysia dan Afrika Selatan yang terjalin sejak sekian lama perlu diberikan suntikan baru sesuai dengan perkembangan semasa, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata lawatan beliau ke Afrika Selatan sebagai memenuhi undangan Presiden negara itu Jacob Zuma bagi menghadiri sambutan ulang tahun ke 100 parti Kongres Nasional Afrika (ANC) di sini secara simboliknya menggambarkan keinginan Malaysia untuk memperkasakan hubungan itu.

Najib berkata beliau mengambil keputusan menerima undangan Zuma yang dibuat secara bersurat serta secara lisan semasa CHOGM di Perth Australia tahun lepas kerana Umno serta kerajaan Malaysia merupakan penyokong kuat kepada perjuangan ANC sejak dahulu dalam memerangi rejim Apartheid dan dasar itu tidak pernah berubah.

“Sejak dahulu lagi kita telah bantu perjuangan mereka secara politik dan dalam pilihan raya tahun 1993 kita telah bantu mereka melalui pelbagai bantuan material, kempen dan panduan bagaimana menguruskan plilihan raya.

“Kehadiran saya ialah secara simbolik bahawa perjuangan mereka itu berkesudahan dengan kejayaan mereka mendapat pembebasan dan menolak rejim Apartheid yang zalim.

“Ini adalah satu kebanggaan kepada kita bahawa dasar luar kerajaan Malaysia dan dasar luar Barisan Nasional yang berdiri atas prinsip kemanusiaan dan sedia membantu jika berlaku ketidakadilan di mana-mana tanpa mengira kaum dan agama masih kita pertahankan sehingga ke hari ini,” katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatannya selama dua hari yang berakhir Ahad.

Mengenai ANC, Najib berkata seperti Umno, parti itu juga perlu melalui proses transisi dari sebuah parti yang memperjuangkan pembebasan kepada sebuah parti yang perlu membina sebuah negara dan bangsa yang baru.

“Berbeza ketika berjuang menentang Apartheid yang perlu kemahiran, semangat dan strategi yang berlainan tetapi apabila sudah memiliki sebuah kerajaan dan perlu membina sebuah negara bangsa yang baru, maka kemahiran serta strategi dan gaya perlu berubah sesuai dengan fasa perjuangan dengan mengambilkira juga bahawa keadaan dunia sudah berubah,” kata Najib.

Beliau berkata begitu juga Umno sebagai sebuah parti yang membebaskan Malaysia daripada penjajah telah mengisi kemerdekaan itu dengan berbagai aspek pembangunan yang telah membawa perubahan besar kepada negara.

“Namun sebagai sebuah parti dalam abad ke 21 ini berdepan dengan generasi baru, kita tidak boleh terperangkap dengan jasa-jasa lama kita…kita harus berani melihat ke hadapan supaya Umno dan BN tetap relevan pada zaman ini dan masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu Najib juga menerima kunjungan hormat Naib Presiden Kenya Stephen Kolanzo Musyoka di hotel penginapannya.

Najib berkata dalam pertemuan setengah jam itu mereka membincangkan pelbagai perkara mengenai isu dua hala kedua-dua negara.

Beliau berkata Musyoko yang bakal menjadi calon bagi pilihan raya Presiden Kenya tidak lama lagi, menyatakan rasa kagum terhadap pelbagai rancangan pembangunan ekonomi yang dijalankan oleh kerajaan Malaysia termasuk Model Baru Ekonomi serta Program Transformasi Eknomi.

Perdana Menteri berkata Musyoko juga berhasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara contoh dalam membangunkan negaranya.

Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor kemudian berlepas pulang ke tanah air menerusi pangkalan udara Bloemspruit.

Sumber : Bernama

Leave a Reply