News_archive

Hubungan Erat Malaysia-China Bermula Dengan Salam Persahabatan Pada 1974

By Tuesday June 2nd, 2009 No Comments

BEIJING, 2 Jun (Bernama) — Semuanya bermula dengan salam persahabatan pada 1974 dan sejak itu Malaysia dan China terus mengukuhkan lagi hubungan dua hala mereka dari semasa ke semasa.

Bagi Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Syed Norulzaman Syed Kamarulzaman, beliau berkata hubungan kedua-dua negara “bermula dengan salam persahabatan dan akan terus bersalaman sebagai sahabat”.

“Walaupun selama 35 tahun ini hubungan ada baik, lebih banyak lagi boleh dilakukan antara kedua-dua negara untuk memperkukuhkan lagi hubungan,” katanya.

Syed Norulzaman percaya lawatan rasmi pertama Datuk Seri Najib Tun Razak ke China selaku perdana menteri akan dapat mempereratkan lagi hubungan setiakawan yang diasaskan oleh ayahanda beliau, allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

Perdana Menteri kedua negara itu merupakan antara beberapa pemimpin yang pada ketika itu mempunyai wawasan untuk menjalin persahabatan dengan China semasa era Perang Dingin pada 1960-an dan 1970-an.

Hasil daripada pandangan jauh Tun Razak, Malaysia telah menongkah arus dan menjadi negara Asean pertama menjalin hubungan diplomatik dengan China.

Perkara itu telah membawa banyak manfaat daripada segi peningkatan perdagangan dan hubungan antara rakyat dan rakyat.

“Perdagangan kita dengan China mencecah US$54 bilion tahun lepas dan dicapai lebih awal daripada sasaran sebanyak US$50 bilion menjelang 2010 yang ditetapkan. Kita mendahului jadual sasaran dan ini merupakan petanda amat baik,” kata Syed Norulazman.

Pelancongan merupakan satu lagi sektor yang menjanjikan pulangan baik berikutan kira-kira 989,000 pelancong China melawat Malaysia tahun lepas dan angka itu lebih tinggi daripada 689,000 yang dicatatkan pada 2007, katanya. Di samping itu, kira-kira satu juta warga Malaysia melawat China tahun lepas.

“Hubungan udara juga semakin meningkat antara kedua-dua negara dan negara kini dihubungkan ke 12 bandar raya,” kata Syed Norulazman.

Bagi pelaburan, katanya Malaysia mengharapkan lebih banyak pelaburan dari China dan koridor pembangunan ekonomi dan projek pembangunan infrastruktur Malaysia boleh menjadi tarikan utama.

Dalam bidang pendidikan, Syed Norulazman berkata institusi pengajian tinggi Malaysia kekal menjadi pilihan utama pelajar China bagi pendidikan berkualiti.

“Saya melihat ia mempunyai masa depan cerah dan lebih banyak lagi yang boleh kami dilakukan dan kami menunjukkan yang kami mahu melakukannya dan komited untuk melakukannya,” katanya.

Mengenai lawatan Najib, Syed Norulazman berpendapat ia “amat bermakna” kerana ia secara tidak langsung berbetulan dengan lawatan bersejarah ayahandanya 35 tahun lepas daripada segi masanya.

Najib akan mengetuai delegasi 35 anggota, termasuk enam menteri dan empat anggota Parlimen untuk lawatan rasmi empat hari bermula Selasa.

Selepas sambutan rasmi di Great Hall of the People pada Rabu, Najib akan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri China Wen Jiabao.

Kedua-dua pemimpin juga akan menyaksikan pemeteraian tiga perjanjian yang akan diumumkan kemudian di West Hall, Great Hall of the People, tempat berlangsungnya pemeteraian pernyataan bersama yang ditandatangani oleh Tun Abdul Razak dan Perdana Menteri China waktu itu, mendiang Zhou Enlai pada 1974.

Perdana Menteri Wen juga akan menganjurkan jamuan untuk meraikan Najib di Fujian Hall, Great Hall of the People.

Pada Khamis, Najib akan melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden China Hu Jintao di Great Hall of the People selepas menghadiri Forum Perniagaan Malaysia-China di China World Hotel.

Lebih sedozen MoU meliputi pelbagai sektor dijangka ditandatangani pada forum itu.

Juga akan diadakan majlis makan malam gala, anjuran bersama Majlis Perniagaan Malaysia-China (MCBC) dan China People’s Association for Friendship with Friendly Countries (CPAFFC), untuk menyambut ulang tahun ke-35 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Sebelum berlepas pulang ke tanah air pada Jumaat, Najib akan menghadiri majlis pelancaran kilang usahasama 1.2 bilion yuan (kira-kira RM600 juta) antara UMW Holdings Malaysia dan Perbadanan Petroleum Kebangsaan China di Qinhuangdao untuk mengeluarkan saluran gas bagi projek gergasi Saluran Gas Barat-Timur China.

 

Sumber : Bernama

Leave a Reply