News_archive

Hospital Khusus Untuk Wanita Satu Lagi Bukti Keprihatinan Kerajaan

By Wednesday November 16th, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) — Keprihatinan kerajaan terhadap kemudahan kesihatan dan perubatan rakyat menapak selangkah lagi dengan rancangan membina hospital khusus untuk wanita dan kanak-kanak.

Surirumah Samihah Sulaiman, 29, yang menyambut baik pembinaan hospital khusus itu, berkata ia satu keperluan khususnya bagi umat Islam yang peka terhadap aspek aurat selain memberi lebih ketenangan kepada kaum wanita dan kanak-kanak.

“Manfaatnya besar kepada kaum wanita dan kanak-kanak, malah juga kepada kaum bapa dan anggota keluarga pesakit. Ini langkah terpuji ke arah memenuhi tuntutan Islam,” katanya kepada Bernama.

Pengerusi Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) Datuk Mohd Nakhaie Ahmad menyifatkan cadangan kerajaan untuk membina sebuah hospital khusus untuk wanita adalah baik mamun berharap agar doktor yang ditugaskan kelak juga daripada kalangan wanita.

“Jika tidak ada kepakaran dalam kalangan doktor wanita, barulah boleh doktor lelaki merawat pesakit di hospital khusus itu,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata konsep hospital khusus itu boleh dikembangkan ke seluruh negara.

“Di hospital yang ada sekarang ini pun boleh dilakukan sebabnya sekarang pun memang ada pengasingan wad lelaki dan wanita. Mereka tidak bercampur. Cumanya, pesakit wanita mestilah dirawat doktor wanita,” kata Mohd Nakhaie.

Norakhmarini Mat Yaman, 23, berkata pembinaan hospital berkenaan dapat memberi lebih keselesaan kepada wanita serta kanak-kanak dalam mendapatkan rawatan.

“Saya rasa lebih selamat dan selesa berada di hospital yang sudah tentunya semua pesakitnya wanita dan kanak-kanak. Bagi ibu yang menyusukan anak pun, sudah tentu lebih selesa kerana hanya dikelilingi pesakit wanita,” katanya.

Rosnita Radzuan, 27, pula menyifatkan pembinaan hospital khusus untuk wanita dan kanak-kanak membuktikan keprihatinan mendalam kerajaan mengenai keperluan kebajikan dan kesihatan golongan wanita dan kanak-kanak.

Katanya kewujudan hospital yang mengasingkan pesakit lelaki dan wanita serta kanak-kanak akan dapat mengurangkan risiko terkena penyakit berjangkit seperti tibi dan kusta.

“Saya baca di media massa, banyak lelaki pekerja asing yang masuk ke negara ini membawa penyakit seperti itu. Jika dibezakan wad rawatan sekalipun, persekitaran dan udaranya tetap sama dan kami lebih mudah terdedah kepada jangkitannya. Kalau hospital khusus, pasti ini dapat dielakkan,” katanya.

Seorang ibu yang mahu dikenali sebagai Fash, 35, berkata hospital khusus itu sangat baik bagi kaum ibu terutama yang sedang mengandung yang tahap imuniti mereka mungkin rendah ketika itu.

“Sekarang ini terlalu banyak penyakit yang boleh berjangkit. Bagi ibu yang mengandung, keadaan ini boleh membahayakan mereka,” katanya.

Rancangan kerajaan untuk membina hospital khusus untuk wanita dan kanak-kanak diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Belanjawan 2012 pada 7 Okt lepas.

Hospital berkenaan akan dibina di Kuala Lumpur melalui perkongsian awam dan swasta dengan kos RM700 juta.

Sumber : Bernama

Leave a Reply