Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
Hentikan terlalu banyak upacara - Najib Razak
News_archive

Hentikan terlalu banyak upacara

By Tuesday April 21st, 2009 No Comments

JOHOR BAHRU 20 April – Datuk Seri Najib Tun Razak menegur sikap para pemimpin dan pegawai kerajaan yang mengadakan terlalu banyak upacara dalam menganjurkan sesuatu program.

Perdana Menteri berkata, amalan itu perlu dihentikan kerana bertentangan dengan ungkapan ‘Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ yang sedang diterapkan kerajaan.

Sebaliknya, ungkapan berkenaan perlu diterjemahkan dalam bentuk dasar, program dan pendekatan bersistem bagi memastikan ia mempunyai pengisian yang bermanfaat dan berkesan kepada rakyat.

“Sebab itu, saya ingin ingatkan supaya jangan banyak sangat upacara pada setiap majlis seperti mesti ada letak karpet merah, bunga manggar, kompang, zapin dan banyak lagi sedangkan ini semua satu pembaziran,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam perjumpaan dengan kakitangan perkhidmatan awam Johor, di Hotel The Zone Regency di sini hari ini.

Najib berkata, terlalu banyak upacara boleh dielakkan supaya pemimpin dan pegawai kerajaan akan lebih mendekati rakyat dalam keadaan tidak formal dan sentiasa turun padang bagi mendengar rintihan mereka.

Menurutnya, ini kerana ungkapan tersebut perlu dilaksanakan sebagai prinsip dan kaedah semasa bekerja.

“Sebagai pemimpin kita mesti mendengar rintihan, rungutan rakyat terutama wakil rakyat, jangan sombong kerana kita kena turun padang dan selesaikan masalah mereka,” tegasnya.

Beliau berkata, rintihan rakyat secara keseluruhannya, kerap kali adalah perkara yang sama walaupun berbeza kaum atau kawasan.

Sambil memberi contoh, isu kemiskinan, ia adalah rintihan yang sama bagi masyarakat kampung tradisional Melayu, penempatan Orang Asli, ladang, rumah panjang atau kawasan pedalaman lain.

“Bagi mereka yang miskin, tiada beza membeza antara mereka dan mereka perlu dibantu sewajarnya,” jelasnya.

Bagi kawasan membangun pula, Perdana Menteri berkata, masyarakatnya mengeluh mengenai masalah pengangkutan, jenayah, rasuah, kenaikan harga barang dan banyak lagi yang juga harus ditangani.

“Jadi kalau tak ada masalah, semua masyarakat Melayu, Cina dan India tiada ada alasan untuk mereka tidak menyokong kita, maknanya selesaikan masalah mereka,” katanya.

Najib berkata, ia termasuk isu rasuah yang dikaitkan dengan amalan proses rundingan terus bagi mendapatkan kontrak pembangunan.

Justeru, katanya, elemen dalam ungkapan itu sebenarnya adalah pelengkap kepada cogan kata dua bekas Perdana Menteri terdahulu iaitu ‘Cemerlang, Gemilang dan Terbilang’ di bawah pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi dan sasaran mencapai negara maju Wawasan 2020 oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Kalau dua bekas Perdana Menteri telah melakarkan satu matlamat yang jelas, maka kenapa tidak kita terjemahkan semuanya itu dalam bentuk pelaksanaan untuk membawa negara sampai ke destinasi,” katanya.

Sumber : Utusan

Leave a Reply