Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
Hari mengecewakan - Najib Razak
News_archive

Hari mengecewakan

By Monday April 13th, 2009 No Comments

PATTAYA 11 April – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan keadaan huru-hara dan tindakan perusuh antikerajaan Thailand menyerbu masuk ke dewan persidangan dan penginapan ketua- ketua kerajaan pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-14 dan sidang kemuncak berkaitan sebagai kejadian di luar jangkaan.

Beliau yang kali pertama menghadiri sidang kemuncak serantau itu dan Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS), baru sahaja selesai mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Thailand, Abishit Vejjajiva di Royal Cliff Grand Hotel And Spa semasa kejadian.

“Kesudahan sidang yang tidak dijangka,” katanya kepada wartawan Malaysia sebaik sahaja ribuan kumpulan tunjuk perasaan berbaju merah meninggalkan lokasi hotel dan persidangan selepas kerajaan Thailand mengumumkan sidang kemuncak itu ditangguhkan sebagai memenuhi salah satu daripada tuntutan penunjuk perasaan.

Menyifatkan ia sebagai hari yang mengecewakan, Najib yang sentiasa ceria pada sidang akhbar itu berkata, beliau telah mempersiapkan diri untuk menemui para pemimpin ASEAN dan enam rakan dialognya (China, Jepun, Korea, Australia, New Zealand dan India) tetapi malangnya ia tidak dapat dilakukan.

“Kami tidak pasti dengan apa yang akan berlaku, jadi saya berada dalam keadaan tertanya-tanya. Saya diberitahu supaya berada di bilik sementara menunggu keputusan sama ada sidang ditangguhkan atau tidak,” katanya.

Menurut Najib, beliau kemudiannya memutuskan untuk mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dalam majlis makan tengah hari.

Katanya, beliau tidak dapat melihat kumpulan penunjuk perasaan itu cuba merempuh masuk hotel penginapannya kerana kedudukan bilik yang menghadap ke tempat lain.

“Saya tidak lihat kerana kedudukan bilik saya tidak nampak. Tetapi saya diberitahu mereka masuk ke lobi hotel. Ini situasi kekecohan tahap tinggi. Pasukan keselamatan saya maklumkan jangan turun. Sebenarnya saya teringin nak turun untuk melihat keadaan,” katanya.

Perdana Menteri yang pulang menggunakan laluan darat menaiki kereta ke Lapangan Terbang U-Tapao turut berharap pihak keselamatan Thailand dapat menjaga keselamatan beliau dan delegasi Malaysia.

Ditanya mengenai laporan yang menyebut beliau menggunakan bot untuk keluar daripada hotel, Najib berkata: “Saya tidak akan gunakan cara macam itu, bukan helikopter atau bot tetapi laluan biasa.

Pemimpin boleh pilih banyak cara tetapi saya pilih cara biasa.” Beliau yang menolak gambaran bahawa peristiwa itu telah mencatatkan sejarah buruk kepada ASEAN berkata, ia adalah soal dalaman Thailand dan tidak akan menjejaskan semangat setiakawan badan serantau tersebut yang masih kuat dan kukuh.

“Dan kita punya rakan dialog +3 dan +6 pun mereka juga amat berminat untuk bekerjasama dengan ASEAN. Contohnya apabila dicadangkan Mekanisme Chiangmai, Jepun dan China berebut-rebut mahu menambah sumbangan masing-masing. Ini gambaran ASEAN satu gagasan kerjasama serantau yang berdaya maju untuk menuju matlamat Komuniti ASEAN menjelang 2010,” jelasnya.

Dalam pada itu, Malaysia turut menolak cadangan supaya kedudukan Pengerusi ASEAN yang kini dipegang oleh Thailand digugurkan berikutan ketidakmampuan negara itu mengendalikan sidang kemuncak tahunannya.

Katanya, Thailand perlu diberi peluang untuk mengadakan semula sidang berkenaan pada tarikh lain. “Saya tak nampak kita perlu tukar Pengerusi ASEAN, cuma kita beri peluang kepada kerajaan Thailand untuk memberi jaminan sekiranya sidang kemuncak ini diadakan di sini,” jelas Najib.

Tambah Perdana Menteri, Thailand perlu memberi jaminan bahawa keadaan boleh dikawal dengan baik jika sidang kemuncak akan datang tetap diadakan di negara itu.

“Kita juga ada cadangan lain, tetapi tukar pengerusi tidak perlu dan tidak wajar dilakukan,” katanya tanpa menyebut apa cadangan berkenaan.

Sumber : Utusan

Leave a Reply