Hari ini ialah hari ke-23 PKP 2.0. PKP 2.0 separuh masak ini sudah gagal…

By Thursday February 4th, 2021 No Comments

Hari ini ialah hari ke-23 PKP 2.0.

PKP 2.0 separuh masak ini sudah gagal dari segi menurunkan kadar keberjangkitan, jumlah pesakit dalam ICU, kes baru (hari pertama PKP 13 Jan: 2,985 kes., semalam: 4,284 kes), kadar kematian dan dari segi bantuan kepada Rakyat.

Sepatutnya buat PKP 2.0 dengan betul dan amat tegas untuk 14 hari dari permulaan supaya PKP tidak akan dilanjut berkali-kali tapi kerajaan tak mahu dengar.

Hasilnya kita dapat PKP dengan traffic jam yang tidak macam PKP.

Dan PKP 14 hari ditambah 9 hari, dilanjut lagi 14 hari dan bakal dilanjutkan lagi berkali-kali sampai abang Jamil mampus.

Akibatnya, ramai yang telah terkorban secara sia-sia untuk 23 hari akibat PKP setengah masak yang penuh kelonggaran ini bagi sektor-sektor dan industri besar yang merupakan penyumbang utama kes Covid.

Oleh sebab ramai orang biasa yang telah tertekan sehingga kita dihujung tanduk selepas berkorban 23 hari tanpa pendapatan dan bantuan kerajaan yang signifikan, saya percaya kerajaan tidak akan berani untuk laksanakan PKP yang lebih ketat lagi biarpun PKP dilanjutkan 14 hari lagi.

Sebaliknya, kerajaan akan melonggarkan PKP dan akan membenarkan lagi ramai sektor ekonomi untuk dibuka termasuk membenarkan sebilangan warga terpilih dengan keluarga mereka untuk melawat Indonesia.

Hasilnya, PKP 2.0 separuh masak akan menjadi PKP 2.0 tiga suku mentah.

Langkah ini seperti langkah kerajaan memansuhkan sekatan rentas negeri, melonggarkan SOP serta menggalakan rakyat melancong pada awal Disember lalu walaupun PKPB masa itu ternyata gagal dan kes Covid semakin meningkat sehingga kerajaan terpaksa laksanakan PKP 2.0 sebulan kemudian.

Orang putih kata “Takrifan kegilaan adalah melakukan perkara serupa berulang-kali tetapi mengharapkan keputusan yang berbeza”.

Sebab itu, saya percaya pendekatan yang baru perlu diambil serta-merta setelah kerajaan membazir peluang untuk melaksanakan PKP yang ketat selama 14 hari.

Jangan ulang perkara yang sudah gagal.

Saya ada empat cadangan.

CADANGAN 1: Mengaktif dan menambah ciri notifikasi/pengesanan kontak rapat automatik Google/Apple kepada sistem MySejahtera untuk meringankan beban pengesanan kontak rapat KKM supaya rakyat yang terdedah kepada kes positif Covid akan diberi amaran secepat mungkin agar mereka boleh mengambil tindakan untuk tidak menjangkit keluarga dan kawan-kawan mereka serta mengambil langkah seterusnya untuk disaring.

Seperti disaran saya sebelum ini, sistem notifikasi kontak rapat ini adalah percuma dan ianya dapat ditambah kepada MySejahtera dengan murah, mudah dan laju:
https://www.facebook.com/najibrazak/posts/10157669856545952

CADANGAN 2: Memperluaskan saringan Covid seluruh negara.

Sebenarnya kerajaan telah melakukan kesilapan dalam tempoh PKP 2.0 apabila mereka umum bahawa hanya kontak rapat kes positif yang bergejala akan disaring biarpun sehingga 80% daripada mereka yang positif Covid tidak bergejala tetapi mampu menjangkit orang lain.

Dengan itu, saya harap kerajaan akan memperluaskan lagi kapasiti dan mempermudahkan lagi rakyat boleh disaring.

Dengan wujudnya kit ujian pantas Covid (RTK-antigen) mudah guna dengan kosnya antara RM60 ke RM150 yang sudah digunakan di Malaysia, kerajaan patut melatih dan mewujudkan satu pasukan pegawai saringan di seluruh negara.

Pusat-pusat saringan sementara juga perlu diwujudkan secara meluas di seluruh negara.

Memandangkan pendapatan ramai yang telah terjejas, kerajaan juga perlu memberi subsidi sehingga RM50 bagi setiap kit ujian pantas.

10 juta kit X RM50 = RM500 juta.

Kerajaan sendiri yang kata negara rugi RM700 juta setiap hari dengan PKP 2.0.

Jadi, kiralah untung jika subsidi ini dapat menggalakan lebih ramai untuk disaring supaya boleh diasingkan secepat mungkin agar negara dapat memendekkan PKP 2.0 dengan sehari sahaja.

Pusat saringan sementara ini juga dapat diguna untuk rancangan vaksinasi negara pada masa depan manakala pasukan khas saringan boleh bantu kerja vaksinasi.

CADANGAN 3: Bekerja dengan pihak hospital swasta untuk menambah pusat kuarantin kes positif Covid sementara dengan mengambil alih hotel yang telah berhenti operasi serta kem PLKN memandangkan kuarantin dan rawatan kendiri di rumah adalah berisiko dan kurang selamat.

CADANGAN 4: Kerajaan perlu menyediakan hotline serta menggunakan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dibuat masa saya PM untuk membolehkan pekerja menyalur maklumat tanpa identiti mereka terbocor jika ada tempat-tempat kerja yang cuba menyorok pekerja yang positif Covid supaya boleh terus beroperasi dan mengelak dari didenda.



Original post: https://www.facebook.com/157851205951/posts/10157676708425952/

Leave a Reply